top of page

Penggunaan teknologi jimat kos, masa sektor binaan


KUALA LUMPUR: Pembinaan antara sektor paling kurang terdedah kepada teknologi atau aspek pendigitalan kerana kebanyakan daripada operasinya masih menggunakan kudrat manusia.


Bagaimanapun, tiada siapa dapat menidakkan manfaat teknologi dalam kehidupan mahupun urusan pekerjaan dalam sesuatu sektor.


Mengulas perkara berkenaan, Ketua Eksekutif ORANGEBEAM Bhd, Datuk Faris Yahaya, berkata teknologi penting untuk menguruskan kos dan masa pembangunan bangunan bertingkat tinggi dengan tepat.


Katanya, pembinaan bangunan tinggi datang dengan pelaburan risiko tinggi kerana wujud tekanan daripada pelanggan untuk menyiapkan projek tanpa lebihan masa dan kos.


“Dalam sektor kami, masa itu emas. Kami mahu mengelak kelewatan dalam penyiapan projek. Cabaran juga datang dalam proses pembinaan itu sendiri.


“Sebagai contoh, pembinaan bangunan tinggi dalam bandar atau kawasan berpenduduk terdedah kepada risiko dikenakan denda atau diarahkan berhenti kerja daripada majlis perbandaran jika mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang awam.


“Namun, dengan teknologi, kita boleh menyisihkan perkara luar jangkaan dan mengurangkan kos dan masa. Antara teknologi yang mula digunakan dalam sektor pembinaan termasuk pengimbasan laser; analisis data raya; model maklumat bangunan (BIM); perisian kerjasama awan dan sistem binaan industri (IBS).


“Bagi teknologi pengimbasan laser, ia merujuk kaedah pemetaan ketepatan yang tinggi menggunakan pancaran laser untuk merekod butiran seluruh projek pembinaan bangunan dengan cepat dan lengkap.

“Sebagai contoh, jika pemaju berasa bimbang dengan pendapat pembeli mengenai reka bentuk bangunan, pengimbasan laser membolehkan pasukan reka bentuk menyesuaikan pelan mereka pada peringkat awal dan mengelak perbelanjaan tidak dijangka,” katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.


ORANGEBEAM adalah syarikat pembinaan tempatan dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam industri berkaitan. Sektor kepakarannya termasuk infrastruktur maritim, pembangunan bertingkat tinggi dan komersial, pembangunan hijau dan lestari, kediaman mewah serta infrastruktur dan bangunan awam seperti hospital.


Antara projek bertingkat tinggi yang berjaya dibina ORANGEBEAM dalam jangka masa yang ditetapkan, termasuk 28 Boulevard dengan nilai kontrak RM435 juta, Pavilion Residences (RM343 juta) dan Serai Bukit Bandaraya (RM381 juta).


Mengulas lanjut, Faris berkata, kebanyakan projek pembinaan pada masa ini sudah melaksanakan IBS.

“IBS merujuk komponen binaan yang dikilangkan dalam satu persekitaran terkawal sebelum diangkut dan dipasang di tapak pembinaan.


“Sistem ini bukan sahaja dapat mengurangkan jangka waktu untuk siap, tetapi juga menangani isu pembaziran dan permasalahan berkaitan alam sekitar,” katanya.



Temui pakar teknologi IoT Malaysia di Seminar Construction Evolution 2019 pada 2 Oktober 2019 di The Everly Hotel Putrajaya. Peluang untuk anda ketahui lebih lanjut berkaitan penggunaan teknologi IoT di dalam industri pembinaan. Dapatkan tiket anda di www.evolusibina.com/seminar



81 views
bottom of page