Ipoh: Penduduk menyokong inisiatif kerajaan menjadikan bandar raya ini sebagai bandar hijau meskipun sedar pembangunannya bukan bersifat skala pendek.
Semuanya kerana mahukan kehidupan masa hadapan yang lebih berkualiti dan selamat.
Antara projek yang memberi impak itu adalah menaik taraf sistem pembetungan dan rawatan kumbahan dengan projek sudah bermula sejak 2015.
Difahamkan, projek Papan 1 itu sepatutnya siap pada 2019 namun diberi lanjutan masa sehingga hari ini berikutan beberapa kekangan termasuk pemberhentian sementara kerja akibat pandemik Covid-19.
Sebelum projek siap, penduduk perlu berkorban dan menanggung kesannya seperti masalah kesesakan jalan raya dan kerosakan jalan di tapak projek yang dalam pembinaan.
Ketika ini projek nilai tinggi yang membabitkan binaan paip bawah tanah sejauh hampir 90 kilometer (km) dalam fasa akhir yang melalui jalan utama di bandar raya Ipoh.
Antara jalan itu adalah Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Kamaruddin Isa dan Jalan Hospital yang hampir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kewujudan binaan projek di tengah jalan menyumbang kepada kesesakan terutama ke HRPB yang menurut seorang pengawal keselamatan bertugas di situ, kesesakan lebih meruncing pada waktu pagi.
"Banyak pergerakan kenderaan ke hospital, apatah lagi pagi dengan ambulans sentiasa keluar masuk dan pesakit yang ada janji temu.
"Kewujudan lampu isyarat di persimpangan Jalan Raja Ashman Shah ke Jalan Kamarudin Isa yang dikatakan agak 'lambat' menyebabkan laluan ini kerap kelihatan sesak.
"Ditambah penghadang di tengah jalan untuk projek pembetungan, sedikit sebanyak menyumbang kepada trafik semakin perlahan," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Farid.
Bagi kakitangan swasta dikenali Nora, 34, dia kurang selesa memandu apabila keadaan jalan yang tidak rata dan banyak tampalan.
Menurutnya, kerja pengorekan dan tampalan yang berulang boleh menjejaskan kualiti permukaan jalan raya dan berisiko kepada pengguna.
"Selain jalan 'berlekuk', terlalu banyak kawasan diletakkan penghadang jalan juga menyukarkan pengguna jalan untuk melakukan pusingan U.
"Itu belum kira kawasan HRPB yang berdekatan dengan beberapa sekolah, yang pastinya sesak pada waktu puncak dan waktu habis sekolah," katanya.
Dia bagaimanapun mengakui manfaat projek itu demi kesejahteraan penduduk di Ipoh selain langkah baik untuk mengurangkan risiko banjir kilat.
Mira, 45, yang berniaga kuih di pangsapuri Flat Ashby di sini, mendakwa pernah beberapa kali menyaksikan kemalangan berlaku berhampiran penghadang jalan projek yang berdekatan Persiaran Galeri Kepayang 1.
"Kemalangan kecil kerap juga berlaku kerana banyak kerja korek dan tampal jalan.
"Jalan di sini pula memang sempit dan adanya penghadang untuk projek itu lebih sukarkan pergerakan kenderaan keluar masuk lorong menghala ke jalan utama," katanya.
Wanita itu turut mendakwa kekerapan kerja korek dan tampal jalan pernah menyumbang kepada berlakunya mendapan tanah kecil, tahun lalu.
"Ia berlaku betul-betul di hadapan gerai saya ini," katanya yang memberitahu bimbang sekiranya masalah lebih buruk berlaku kesan daripada kerja pembangunan.
Projek Papan 1 sebahagian inisiatif kerajaan untuk memberi perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien kepada penduduk di daerah Kinta yang membabitkan pembinaan jajaran paip bawah tanah sepanjang hampir 90km hingga ke loji di Papan, Batu Gajah.
Berdasarkan maklumat portal projek Papan 1, had sempadan kerja adalah seperti tadahan Ipoh, sebahagian tadahan Gunung Rapat dan sebahagian tadahan Menglembu yang mana kerja-kerja pembinaan rangkaian paip itu melintasi Sungai Kinta dan landasan kereta api.
Sumber: Harian Metro
Comments