top of page

Penggiat industri binaan digesa gunakan teknologi BIM



SEREMBAN - Kerajaan negeri meminta para penggiat industri pembinaan di negeri ini mempelajari dan mengguna pakai teknologi baharu dikenali Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) dalam projek yang dijalankan mereka.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, BIM adalah model digital 3D sesuatu bangunan atau struktur yang mengandungi pelbagai maklumat geometri dan parameter dihasilkan melalui beberapa perisian.


Katanya, penggunaan BIM mampu mengurangkan kos bagi setiap projek pembinaan serta mencapai keputusan lebih tepat bagi pelanggan sistem itu.


“BIM adalah teknologi baharu yang mana semua pemain dalam industri pembinaan perlu mempelajari dan menggunakannya. Sama ada suka atau tidak, BIM memang teknologi yang diperlukan untuk masa depan.


“Yang penting kita tahu kos sebenar setiap projek dan berupaya mengawalnya. Saya fikir pada masa depan, kalau ini dapat dilaksanakan di seluruh jabatan, kita boleh mengawal kos pembinaan di seluruh negeri dan negara kita,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan MyBIM Satelite Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah dan Rumah Terbuka Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Sembilan di sini hari ini.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab. Malik; Pengurus Besar Kanan (Sektor Pembangunan Teknologi) CIDB, Datuk Ir. Elias Ismail; Pengarah CIDB Negeri Sembilan Azhar Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Tengah Dolkipli Saian.


Sementara itu, Elias berkata, kajian yang telah dilaksanakan oleh CIDB melalui National Building Information Modelling Report 2016 menunjukkan kadar penggunaan BIM di negara ini masih rendah iaitu 17 peratus, sedangkan jumlah projek pembinaan yang menggunakan BIM kian bertambah.


Menurutnya, usaha giat perlu dilakukan bagi mempersiap semua penggiat industri di setiap peringkat dengan diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai BIM.


“Ia perlu melibatkan pengarah syarikat, profesional pembinaan mahu pun pelajar, kontraktor daripada G7 hingga G1, agensi kerajaan dan swasta,” katanya.


Mengenai MyBIM Satelit ABM Wilayah Tengah, beliau berkata, ia ditubuhkan bertujuan menyokong peranan ABM dalam menyediakan latihan BIM kepada penggiat industri di samping menyokong fungsi MyBIM Centre.


Jelasnya, ia memberi perkhidmatan penggunaan peralatan BIM melalui sewaan harian khususnya bagi penggiat industri di negeri ini, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.



42 views
bottom of page