KUALA KRAI: Hampir 15,000 penduduk di lapan kampung di sini hanya bergantung kepada feri atau bot untuk ke bandar Kuala Krai sejak puluhan tahun lalu.
Kampung berkenaan termasuklah Kampung Pengkalan Pasir Baru, Kampung Pengkalan Pasir Lama, Kampung Bahagia, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Sokor.
Penduduk mendakwa, aktiviti seharian mereka terjejas apabila feri terbabit sering rosak selain tidak boleh beroperasi sekiranya air besar terutama musim tengkujuh.
Terdapat juga jalan darat namun agak jauh dan mengambil masa hampir dua jam, sekiranya mahu ke bandar Kuala Krai memandangkan, laluan itu perlu melalui Tanah Merah terlebih dahulu, berbanding menggunakan feri hanya beberapa minit.
Justeru, penduduk menggesa supaya pembinaan jambatan yang menghubungkan dari Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang, dimulakan tahun lalu, dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Penduduk Kampung Pasir Kelang, Mat Noor Mat Hussin, 53, meluahkan rasa sedih memikirkan kehidupan mereka sejak puluhan tahun lalu.
Mat Noor mendakwa, anaknya yang berusia empat bulan juga meninggal dunia sebelum ini disebabkan sakit dan lambat untuk dibawa ke hospital memandangkan operasi feri hanya beroperasi jam 7 pagi sehingga 10 malam sahaja.
"Saya masih ingat ketika itu anak saya sakit dan feri sudah tidak beroperasi menyebabkan anak saya meninggal dunia. Memang ada jalan darat namun hampir dua jam baru sampai ke bandar Kuala Krai, berbanding menggunakan bot atau feri hanya lima minit.
"Sedih memikirkan kehidupan penduduk di sini sedangkan sekarang sudah tahun 2022 dan tidak sepatutnya kami hidup begini seolah-olah kampung kami jauh di pedalaman.
"Kami berharap pembinaan jambatan itu dapat disiapkan mengikut jadual, memandangkan jambatan perkara paling penting buat kami di sini supaya tidak perlu lagi bergantung kepada bot atau feri," katanya.
Penduduk, Zawawi Mat Yaakob, 43, pula berkata selain menyukarkan aktiviti harian, persekolahan anak juga terjejas memandangkan tiada sekolah menengah dalam kampung berkenaan.
"Setiap hari untuk ke sekolah bagi pelajar sekolah menengah, mereka perlu menunggu bot atau feri kerana kebanyakan anak tidak mahu tinggal di asrama.
"Jika betul pemimpin mahu bantu rakyat, jambatan itu adalah hadiah paling bermakna buat kami di sini," katanya.
Pada Ogos tahun lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar sudah meluluskan projek pembinaan jambatan sepanjang 100 meter yang merentangi Sungai Kelantan dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM30 juta.
Sumber: Berita Harian
Comments