top of page

Penduduk kesal, kontraktor buang simen dalam longkang


Pembuangan sisa simen ke dalam longkang
KERK Chee Yee (kiri) meninjau lokasi pembuangan sisa simen ke dalam longkang di Taman Bukit Katil Damai, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Pembuangan sisa simen ke dalam longkang

MELAKA: Penduduk di Taman Bukit Katil Damai di sini kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa simen ke dalam longkang utama berhampiran jalan masuk ke perumahan mereka.


Pengerusi Rukun Tetangga Taman Bukit Katil Damai, Mat Noor Md. Zin berkata, pembuangan bahan binaan itu telah menyebabkan longkang berkenaan tersumbat berikutan simen tersebut mengeras, lantas menghalang laluan air.


Beliau berkata, limpahan air dari longkang terutama ketika musim hujan berterusan dikhuatiri mendatangkan ancaman kepada penduduk, memandangkan lokasi itu adalah jalan utama untuk keluar dan masuk ke penempatan berkenaan.


Jelasnya, pihaknya tidak menolak perbuatan terbabit dilakukan oleh kontraktor yang sedang melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian rumah di beberapa lokasi berhampiran.


“Kami memang kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa simen ke dalam longkang utama. Kita kesan pada awal minggu ini, tambahan pula sekarang musim hujan, saluran air yang tersumbat boleh mendatangkan pelbagai ancaman seperti banjir.


“Tambahan pula ini jalan utama, jika air melimpah dan bertakung di permukaan jalan ia turut membahayakan pengguna jalan raya. Kita syak simen ini dibuang oleh kontraktor yang mungkin ada projek di sekitar taman ini, namun setakat ini kita tidak ada bukti,” katanya dalam sidang akhbar khas yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.


Dalam pada itu, Chee Yee memaklumkan, perkara itu telah dipanjangkan kepada perhatian dan tindakan susulan pihak berwajib antaranya Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).


Beliau berkata, meskipun hanya sedikit sisa dibuang, namun perilaku sedemikian mendatangkan kesan besar kepada penduduk yang mana proses baik pulihnya dijangka menelan kos agak besar.


“Mungkin pihak berwajib perlu pecahkan struktur longkang ini, kerana simen yang dibuang telah keras, mungkin juga memakan masa untuk dibaik pulih. Akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak, ia mendatangkan kesusahan kepada penduduk dan kerugian kepada negeri,” katanya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page