top of page

Penduduk bantah, sila cari lokasi lain


Penduduk bantah, sila cari lokasi lain
PEMBINAAN tapak pelupusan sisa pepejal sanitari baru di Felda Lok Heng. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Penduduk bantah, sila cari lokasi lain

Kota Tinggi: Projek pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari baru di Felda Lok Heng di sini, mendapat bantahan penduduk termasuk dari gugusan Felda Waha dan Tanjung Sedili.


Penduduk menyifatkan tapak pelupusan sampah yang berkeluasan 180 hektar itu sangat tidak sesuai kerana berdekatan dengan kawasan penempatan, malah hanya terletak satu kilometer dari rumah generasi kedua Felda.


Penduduk Lok Heng Timur, Rasid Che Harun, 49 berkata, penduduk membantah dan sangat tidak setuju dengan pembinaan tapak pelupusan sampah ini di Felda Lok Heng kerana ia akan memberi kesan bukan pada jangka masa pendek, tetapi kesan jangka panjang.


"Dengan keluasan tapak sebesar 180 hektar, boleh bayangkan berapa banyak sampah yang akan dibuang di sini, dan kesannya bau busuk dan kehadiran lalat. Itu belum lagi pencemaran air bersih kerana kawasan ini juga berdekatan dengan tali air yang mengalir terus ke Sungai Sedili Kecil.


"Sungai Sedili Kecil ini membekalkan air bersih ke loji terawat yang digunakan lebih 30,000 penduduk sekitar kawasan ini. Bayangkan impak pencemaran dari kawasan itu sekiranya ia terjadi," katanya ketika ditemui di tapak projek pelupusan sampah di Felda Lok Heng di sini, hari ini.


Bagi Penduduk Felda Lok Heng Barat yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda wilayah Johor Bahru, Muhammad Firdaus Marju, 39 biarpun dijanjikan dengan penggunaan teknologi tinggi dan maju di tapak pelupusan sampah terbabit, pihaknya tetap membantah pembinaan terbabit.


Katanya, langkah pencegahan lebih baik dari merawat.


"Kalau kononnya mahu membangunkan tapak pelupusan sampah berteknologi tinggi, kenapa tidak dibuat di kawasan sedia ada?


"Kami sudah di sini 30 tahun dan tidak mahu generasi akan datang mendapat kesan buruk.


Kami bukan tolak pembangunan tetapi kami tolak pembinaan tapak pelupusan sampah yang hampir sangat dengan penempatan penduduk," katanya.


Penduduk Felda Waha, Mohd Khairi Khairul Anuar, 35 meluahkan rasa sedih dan marah dengan projek terbabit kerana bimbang terjadi masalah pencemaran air.


Katanya, sudah berbelas tahun Felda di kawasan ini berdepan masalah ketiadaan air ketika waktu cuti dan perayaan.


"Kalau ikutkan Felda Waha memang jauh dari sini tetapi kami berkongsi sumber aliran air bersih sama, yang mana alirannya berada di sekitar kawasan ini.


"Sekiranya berlaku pencemaran air, kami juga turut terkesan. Pihak berwajib perlu fikir dengan lebih mendalam sebelum melakukan apa-apa projek yang memberi kesan terhadap rakyat," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata tiada perbincangan dibuat antara Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) berhubung isu terbabit dengan pihaknya ataupun masyarakat setempat.


Katanya projek ini pernah dibatalkan atas desakan masyarakat kampung sebelum ini.


"Kita hairan kenapa setelah dibatalkan, tahun ini projek tersebut tetap akan dilaksanakan tanpa ada perbincangan dengan saya dan penduduk tempatan.


"Sekiranya projek ini akan diteruskan, pihak berwajib perlu turun dan mengadakan sesi dialog dengan penduduk tempatan. Dialog ini bertujuan untuk mendengar pandangan rakyat.


"Pandangan ini penting dan perlu diambil kira kerana rakyat setempat yang akan menghadapi kesan buruk sekiranya tapak tersebut tercemar.


"InshaAllah dalam masa terdekat ini juga akan berjumpa serta membincangkan isu ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Johor.


Sumber: Harian Metro


Penduduk bantah, sila cari lokasi lain


61 views

Comments


bottom of page