Pembinaan stesen ECRL Nilai dipertimbangkan


SEREMBAN: Nilai kini menjadi satu daripada stesen yang sedang dipertimbangkan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Sembilan, selain Kuala Klawang di Jelebu.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perkara itu dimaklumkan selepas kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 8 Ogos lalu yang turut membentangkan pilihan laluan ECRL terkini merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.


“Kerajaan negeri dimaklumkan sehingga kini jajaran (ECRL) masih belum dimuktamadkan dan perlu dikaji dengan teliti dari pelbagai aspek seperti impak sosial serta persekitaran, impak operasi, tahap penjimatan dan kesesuaian teknikal serta kos dan cabaran pelaksanaannya.

“Sesi perbincangan pertama berhubung pilihan laluan diadakan bersama MRL pada 8 Ogos lalu dengan pilihan laluan terkini membabitkan dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.


“Sesi taklimat laluan terkini akan dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 September depan,” katanya menjawab soalan Yap Yew Weng (DAP-Mambau) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, pembangunan jajaran ECRL akan memberi pelbagai limpahan manfaat terutama dalam peluang pekerjaan berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Jelebu.


“Persekitaran perniagaan juga akan berubah dengan kehadiran lebih ramai pekerja di kawasan ini. Ia akan membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana dan kecil, selain meningkatkan lagi permintaan makanan, rumah, kedai runcit dan pengangkutan.


“Selain itu, projek ini mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di Jelebu, sekali gus mempromosikan produk ekopelancongan sedia ada seperti Taman Negeri Kenaboi dan taman eko rimba yang lain,” katanya.


Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hassan (BN-Rantau) turut mencadangkan jika stesen ECRL dibina di Nilai, kerajaan negeri akan menjadikan stesen itu hab pengangkutan bersepadu.


“Kita nak cadangkan kerajaan negeri ambil kira pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) kerana dalam perancangan awal, ada satu stesen Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang sudah diluluskan sebagai stesen bertaraf antarabangsa.


“Kita cadangkan (stesen Nilai) dijadikan hab pengangkutan bersepadu dan jika boleh, ECRL disambungkan ke stesen itu bagi memudahkan penumpang dari Pantai Timur terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL

89 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.