top of page

Pembinaan projek infrastruktur di Selangor akan disegerakan


Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Bil 1 Tahun/2020 di Shah Alam. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

SHAH ALAM: Semua projek infrastruktur di Selangor yang sudah diluluskan perlu disegerakan pembinaannya, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Beliau berkata, projek terbabit memberikan kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dan negara.


"Hari ini kita membincangkan beberapa projek infrastruktur yang perlu dijalankan segera kerana projek infrastruktur ini ada kesan berganda kepada penjanaan dan perkembangan ekonomi negeri serta negara, malah kita mahu projek yang diluluskan ini mesti diteruskan segera," katanya.


Beliau berkata demikianselepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Selangor Darul Ehsan Bil. 1/2020 di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohamed Azmin berkata, dalam mesyuarat itu beliau turut memberikan fokus kepada keperluan teknologi dan ekonomi digital dalam masyarakat.


"Kita lihat kesan daripada COVID-19, kecenderungan masyarakat termasuk individu, isi rumah dan masyarakat perniagaan terbabit dalam ekonomi digital dan teknologi digital," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Pusat memberi jaminan akan berlaku adil terhadap semua negeri walaupun berada di bawah pimpinan pembangkang sebagai usaha menjana semula ekonomi negara susulan impak penularan pandemik COVID-19.


Beliau berkata, tidak timbul perbezaan ideologi politik dalam isu pembangunan ekonomi kerana ia adalah tanggungjawab bersama terutama ketika pasca COVID-19.


Sementara itu, beliau turut memuji prestasi Amirudin serta pegawai kerajaan negeri yang meneruskan dasar peduli rakyat.


"Saya gembira kerana Menteri Besar dan pasukannya meneruskan dasar peduli rakyat dan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.


"Saya kira usaha seperti ini perlu mendapat dokongan, sebab itu kerajaan Pusat akan terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri akan memastikan rakyat disejahterakan dan Selangor terus makmur," katanya.



6 views
bottom of page