top of page

Pembinaan kilang elektronik MRCB pemangkin pelaburan lain di Perlis


Pembinaan kilang elektronik MRCB pemangkin pelaburan lain di Perlis
Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)

Pembinaan kilang elektronik MRCB pemangkin pelaburan lain di Perlis

PADANG BESAR: Pembangunan kilang elektronik yang dimajukan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) akan menjadi pemangkin kepada pelaburan lain untuk bertapak di kawasan perindustrian berkenaan, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Selain itu, titah Baginda, usaha itu juga mampu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat di negeri ini.


"Diharapkan pihak MRCB dapat memberi keutamaan kepada rakyat Perlis dalam merebut peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan," titah baginda pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Fasiliti Pengeluaran Kilang Elektronik MRCB, di CVIA, hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan barisan exco kerajaan negeri, Naib Eksekutif Presiden MRCB Datuk Ishak Mohamad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.


Tuanku Syed Faizuddin berharap MRCB akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan pembangunan projek berkenaan dapat disiapkan seperti yang dirancang.


Sementara itu Ishak berkata projek pembangunan itu dengan pelaburan sebanyak RM100 juta dan bakal menyediakan 200 hingga 300 peluang pekerjaan pada peringkat awal.


Menurutnya, pembinaan akan bermula sekarang dan dijangka siap pada September 2024.


Selepas siap kelak, katanya, bangunan kilang itu akan diserahkan kepada sebuah syarikat bertaraf 'Fortune 500' dari Amerika Syarikat dalam masa enam bulan untuk beroperasi.


Ishak berkata, bagi projek ini MRCB bertindak sebagai pemaju dan menggunakan Konsep Bina Dan Sewa yang menyediakan kemudahan kepada syarikat luar untuk membawa kepakaran ke sini.


Sumber: Berita Harian


Pembinaan kilang elektronik MRCB pemangkin pelaburan lain di Perlis


16 views
bottom of page