Pemberian kontrak kerajaan: Gesa semak semula senarai kontraktor


KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan digesa untuk menyemak semula senarai kontraktor kecil dan sederhana terutamanya kontraktor Melayu Bumiputera dalam isu pemberian kontrak kerajaan.


Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan perlu mendengar keluhan golongan tersebut yang dituduh memperoleh kontrak secara jalan belakang atau rasuah.


“Mereka adalah sebahagian dari kita dan kita naik hasil pengorbanan mereka menolak kerajaan yang rasuah. Jangan kita teruskan penyisihan yang dimulakan sebelum ini terhadap mereka.


“Mereka hanya mahu proses yang lebih adil dan telus, sejajar dengan agenda Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi portal tersebut.


Sebelum ini, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Mokhtar Samad menyeru kerajaan memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam projek infrastruktur mega negara, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara.


Katanya, seramai 2,646 kontraktor Bumiputera G7 mempunyai inovasi, kekuatan kewangan dan pemikiran untuk melaksanakan projek mega Malaysia.


Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, tindakan ahli politik akar umbi dan ketua bahagian parti politik membangkitkan isu kontrak kerajaan bukan mahu mengkayakan diri sendiri, sebaliknya, mereka mahu mencari rezeki halal bagi meneruskan perjuangan membela nasib rakyat termasuklah menerusi saluran badan kebajikan dan parti politik.


“Ramai di antara mereka tidak segan silu mengeluarkan wang sendiri untuk aktiviti kebajikan rakyat,” katanya.


Beliau malah berkata, ahli politik Pakatan Harapan juga tidak mahu kontrak diberikan secara membuta tuli seperti dilakukan kerajaan terdahulu, sebaliknya mahu bersaing dan memenangi kontrak secara sihat dan sah.


“Mereka merasakan sekarang ini padang persaingan adalah tidak sama rata. Mereka merasakan di bawah rejim sebelum ini, nama mereka disisihkan daripada senarai.


“Dan hari ini mereka masih tidak mendapat peluang untuk kembali bersaing dalam senarai itu. Walaupun dijalankan undian semasa pembahagian kontrak kecil sekalipun, mereka tetap tidak menang kerana nama mereka dari awal lagi telah disisihkan,” katanya.


Selain itu, Wan Saiful mendakwa kontraktor yang rapat dengan kerajaan terdahulu masih membolot pelbagai kontrak seperti mengusahakan kantin dan keselamatan sekolah, pembinaan, pembaikan jalan dan infrastruktur.


Sumber: Utusan Online


#evolusibina #kontraktor #bumiputera

35 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.