Pembeli PR1MA Residen Tebrau gesa projek disiapkan segera


Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Lebih 700 pembeli Residen Tebrau, projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Jalan Tebrau di sini hari ini menggesa pemaju tidak melengah-lengahkan penyerahan kunci rumah projek yang sepatutnya siap pada Januari lepas.


Seorang pembeli, Hasni Mohni, 38 berkata tarikh siap projek tersebut telah ditunda sebanyak empat kali iaitu Januari, Mac, Jun dan terkini pada Oktober ini.


Menurutnya Perbadanan PR1MA Malaysia memaklumkan projek yang dimulakan pada 2016 itu kini 94 peratus siap.



"Kami tidak mahu tarikh siap ditunda lagi kerana pembeli sudah mula buat progressive payment, ada juga yang bayar penuh terutama pembeli yang ambil pinjaman kerajaan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).


"Kami terbeban dengan masalah kewangan selain perlu membayar rumah sewa sementara menunggu projek ini siap. Saya berharap PR1MA tidak lagi menunda tarikh, kami bukan mahu janji tetapi kunci," katanya yang ditemui pemberita, di sini, hari ini.


Sementara itu, pesara swasta Nor Hayati Kayat, 57, berkata dia kecewa apabila rumah idamannya masih tidak dapat diduduki sehingga kini walaupun sudah menjelaskan separuh daripada harga rumah.


"Saya sudah bayar tunai sebanyak RM100,000 dengan menggunakan duit EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," katanya.


Nur Hamizah Wahit, 31, pula berasa sedih dan terkilan kerana hasrat arwah bapanya yang teringin untuk melihatnya menduduki rumah berkenaan tidak kesampaian.


"Ayah meninggal dunia dua tahun lepas akibat sakit tua dan saya pula sudah ada dua anak (sejak beli rumah), namun rumah masih belum siap," katanya yang bertugas sebagai guru. -- BERNAMA


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #PR1MA #Johor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.