top of page

Pemaju perumahan mungkin dikenakan deposit persediaan jika projek 'sakit'


Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118)
Gambar hiasan

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menimbang untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) untuk mewajibkan pemaju mengemukakan wang deposit sebanyak tiga peratus daripada kos projek.


Menterinya berkata ia bagi membolehkan wang deposit itu digunakan bagi tujuan menyelamatkan projek sakit atau terbengkalai.


"Selain daripada tindakan perundangan, bagi menyelesaikan isu projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, tindakan yang diambil terhadap projek bermasalah antaranya adalah dengan menyenarai projek perumahan sakit yang tamat tempoh Perjanjian Jual Beli dan juga projek terbengkalai untuk dipaparkan di laman portal Jabatan Perumahan Negara (JPN) kepada umum.


"Selain itu, KPKT melaksanakan pemantauan lebih kerap termasuk pembekuan akaun pemajuan perumahan bagi projek sakit terpilih untuk mengelakkan pengeluaran wang secara tidak bertanggungjawab oleh pemaju serta menyenarai hitam pemaju dan Ahli Lembaga Pengarah serta menyekat pemaju projek sakit daripada memohon Permit Iklan," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta KPKT menyatakan tindakan tegas tehradap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan dalam tempoh ditetapkan.


Bagi pembeli yang terjejas pula, kementerian melalui Jabatan Perumahan Negara akan mengeluarkan surat pengesahan projek bermasalah sakit atau terbengkalai atas permohonan pembeli kepada pihak pembiaya pinjaman untuk penstrukturan semula pinjaman.


Katanya, ia adalah bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pembeli.


"Selain itu, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai juga diwujudkan oleh kementerian untuk mencari pendekatan yang lebih berfokus dan strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai.


"Kementerian sentiasa berusaha untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu projek perumahan sakit dan terbengkalai ini secara holistik dengan membabitkan lebih banyak pihak dalam industri untuk mendapatkan pandangan serta idea dari perspektif yang lebih meluas melalui program yang dirancang," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page