top of page

Peluang tingkatkan kecemerlangan penyelidikan


SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan ElektrikKuasa (CEPES) akan memastikan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Teknik Janakuasa Sdn Bhd (TJSB) mengukuhkan lagi program akademik termasuk penyelidikan.


Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UiTM, Prof Dr Mohd Nasir Taib, berkata TJSB adalah anak syarikat Malakoff Corporation Berhad iaitu syarikat yang menerajui pasaran Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) di negara ini dan kerjasama berkenaan dilihat sebagai peluang besar untuk CEPES.


“Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluaskan kolabrasi dalam beberapa bidang seperti penyelidikan dan inovasi, latihan industri serta aktiviti akademik yang lain.


“Kita di FKE juga mempunyai jumlah pelajar yang ramai iaitu 2,500. Justeru, kita mampu memaksimumkan peluang yang diberikan oleh TJSB terutamanya dalam program penyelidikan serta latihan industri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM dan Teknik Janakuasa Sdn Bhd, hari ini.


MoU berkenaan ditandatangani antara Mohd Nasir dan Naib Presiden Kanan Operasi dan Perkhidmatan Pengurusan Projek TJSB, Azhari Sulaiman.


Mohd Nasir berkata, menerusi MoU itu pelajar juga berpeluang merasai pengalaman di industri sebenar secara praktikal dan bukan hanya pada teori yang dipelajari di dalam kelas serta makmal.


Katanya, sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, pihak fakulti juga akan membenarkan TJSB menggunakan makmal serta akan turut menyediakan bantuan daripada pensyarah serta pelajar.


“Kita juga akan mengadakan latihan modul mengenai ‘Power Transformer’ serta ‘Generator and Power Control’ dan TJSB dijemput untuk menyertainya,” katanya.


Sementara itu, Azhari berkata, MoU berkenaan akan berlangsung selama setahun dan akan dilanjutkan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.


“Kami sudah beberapa kali bekerjasama dengan UiTM tetapi jika secara formal, (menerusi MoU) adalah kali pertama.


“Saya yakin kerjasama ini akan dapat memanfaatkan kedua-dua pihak demi kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan kepakaran,” katanya.


Sumber: Berita Harian


9 views
bottom of page