top of page

Pelebaran Lebuhraya KL-Karak: Kenaikan tol bergantung kepada kerajaan - AFA Prime


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: AFA Prime Bhd, syarikat konsesi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), mengharapkan sedikit kenaikan kadar tol selepas projek pelebaran lebuh raya dan projek mitagasi banjir membabitkan kos RM2.3 bilion siap.


Pengerusi AFA Group, Tan Sri Azmil Khalili Khalid, berkata namun begitu sebarang kenaikan kadar tol membabitkan Lebuhraya KL-Karak dan LPT1, sebagai mana lebuh raya lain adalah ditentukan kerajaan.


"Kita mengharapkan ada sedikit (kenaikan), tetapi fokus kami adalah menyiapkan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dan Projek Mitigasi Banjir LPT1.


"Ia terpulang kepada kerajaan. Selepas projek ini siap, kami akan melihat apa yang kerajaan persetujui di bawah perjanjian konsesi.


"Kerajaan akan melihat jumlah trafik dan kerja-kerja projek ini, kemudian kerajaan putuskan (kadar tol). Seperti yang anda tahu, kadar tol semuanya dikawal oleh kerajaan," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.


Jajaran Lebuhraya KL-Karak membabitkan jarak sepanjang 60 kilometer (km), manakala LPT1 (174km).


Ketika ini, kadar tol sepanjang dua lebuh raya itu bagi kenderaan kelas 1 adalah RM9.50 membabitkan dua plaza tol iaitu Gombak dan Bentong, manakala dari plaza tol Karak ke Plaza Tol Kuantan (RM19.60), selain beberapa susur keluar termasuk Temerloh, Maran dan Gambang.


AFA Prime memperuntukkan RM2.3 bilion, masing-masing RM2.1 bilion bagi melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dan RM200 juta untuk Projek Mitigasi Banjir LPT1.


Kedua-dua projek yang dijadualkan bermula Januari tahun depan dengan projek pelebaran dijangka siap dalam masa 48 bulan dan projek mitigasi banjir Disember 2028.


Bagi projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak, ia merangkumi pelebaran dari tiga lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dengan terowong dua lorong baharu dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah.


Selain itu, projek berkenaan juga membabitkan penambahbaikan dari dua lorong dua hala kepada tiga lorong dua hala dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong.


Apabila siap sepenuhnya, Lebuhraya KL-Karak dijangka meningkatkan aliran trafik sebanyak 25 peratus atau 1,400 kenderaan sejam bagi setiap laluan.


Projek pelebaran terbahagi kepada dua seksyen dengan jarak keseluruhan 42.3 km.


Seksyen 1 merangkumi laluan dari KM19.2 hingga KM39.0 dengan jarak 19.8 km dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah, manakala sekyen 2 (KM39.0 - KM61.5) dengan jarak 22.5 km dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong.


Bagi projek Projek Mitigasi Banjir LPT1, projek itu memberi tumpuan kepada meminimumkan gangguan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.


Antara penambahbaikan yang dirancang untuk Projek Mitigasi Banjir LPT1 termasuk peningkatan sistem saliran untuk menguruskan jumlah air yang lebih besar dengan berkesan.


Projek berkenaan juga membabitkan penstabilan cerun dan tambakan untuk mencegah hakisan tanah dan tanah runtuh; serta pengurusan tumbuh-tumbuhan secara strategik untuk meningkatkan penyerapan air dan mengurangkan larian air.


Comments


bottom of page