top of page

Pekerja tempatan projek ECRL tak tepati sasaran kuota 70 peratus


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
4,839 adalah pekerja tempatan, manakala pekerja asing yang terdiri daripada warga China dan negara lain adalah 8,928 orang

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu kini sudah mencapai fasa pembinaan melebihi 35 peratus dan dijangka memulakan operasi komersial pada Januari 2027.


Projek infrastruktur pengangkutan terbesar negara ini menyasarkan untuk menggaji 23,000 pekerja pada puncak fasa pembinaan.


Mengikut laporan kemajuan ECRL pada suku tahun ketiga 2022 yang dikeluarkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) baru-baru ini, jumlah keseluruhan pekerja sehingga November 2022 adalah 13,767.


Daripada jumlah itu 4,839 adalah pekerja tempatan, manakala pekerja asing yang terdiri daripada warga China dan negara lain adalah 8,928 orang.


Angka ini menunjukkan peratusan pekerja tempatan pada tahap 35 peratus masih jauh daripada sasaran kuota 70 peratus pekerja tempatan ditetapkan oleh MRL Sdn Bhd.


Memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan membolehkan hasil gaji yang diperoleh dibelanjakan dan berlegar dalam negara berbanding jika menggaji warga asing yang sudah pasti menghantar sebahagian besar daripada pendapatan ke negara asal masing-masing.


Usaha lebih giat perlu dibuat untuk menggalakkan warga Pantai Timur dan Selangor merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan daripada peringkat pengurusan, kejuruteraan dan teknikal sehingga ke peringkat pekerja mahir dan separuh mahir pembinaan.


Program Tanggungjawab Sosial (CSR) oleh China Communications Construction Company (CCCC) selaku kontraktor utama dalam menyediakan peluang latihan melalui Program Latihan Kemahiran Industri-ECRL (PLKI-ECRL) adalah satu inisiatif yang amat baik untuk melatih belia tempatan, terutama bekas graduan kejuruteraan dalam bidang teknologi rel termoden dari China.


Diharap pihak kontraktor sudi mengambil bekas banduan di bawah program CSR untuk bekerja di projek ECRL bagi memberi peluang kedua kepada golongan ini, selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


Pengalaman dan kemahiran yang diperoleh semasa bekerja di projek berimpak tinggi ini amat berguna sekali dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk bekerja di sektor pembinaan rel negara.


M Faisal

Kuala Lumpur


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page