top of page

PEKA@MRCB beri peluang kedua kepada pesalah


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat tapak pembinaan selepas melancarkan program PEKA@MRCB di Banting, hari ini. - Foto BERNAMA

BANTING: Semua pihak terutama syarikat korporat perlu mengubah persepsi dan pendirian dalam menerima bekas pesalah terutamanya golongan muda untuk diterima bekerja.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kerajaan melalui inisiatif Reben Kuning sentiasa membuka peluang kerjasama dengan syarikat korporat untuk memberikan latihan dan peluang pekerjaan kepada bekas pesalah.


Beliau berkata, inisiatif Reben Kuning yang diperkenalkan oleh kementeriannya pada 2018 turut mendapat sokongan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.


Ia katanya bertujuan untuk mengubah persepsi terhadap bekas pesalah dan menggerakkan usaha memberi peluang kepada bekas pesalah memperoleh latihan dan seterusnya bekerja di industri.


“Kerajaan mempelawa lebih banyak sektor swasta terbabit dalam program sebegini, memberi peluang untuk mereka ditempatkan kembali ke masyarakat.

“Pembentangan Belanjawan 2020 juga memperuntukkan RM20 juta bagi mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan untuk memenuhi standard Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) untuk program perkhidmatan makanan, pertukangan, perkhidmatan dobi dan kimpalan.


“Inisiatif itu juga membantu mengurangkan kebergantungan industri pembinaan dengan tenaga kerja asing,” katanya selepas melancarkan program PEKA@MRCB di sini, hari ini.


Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Pengarah Urusan MRCB, Imran Salim.


Program PEKA@MRCB adalah sebahagian daripada inisiatif Reben Kuning dengan kerjasama Jabatan Penjara dan MRCB.


PEKA yang bermaksud ‘Peluang Kedua Anda’ menyediakan peluang pekerjaan bagi pesalah terpilih yang dirujuk sebagai Orang Diselia (ODS) dan hampir tamat menjalani tempoh hukuman.


Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan, berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membina kerjaya dalam industri pembinaan dalam kalangan ODS.


Beliau berkata, program PEKA@MRCB adalah langkah pertama untuk ODS mengasah kemahiran, menjana pengalaman dan seterusnya mendapat pekerjaan setelah dibebaskan.


“Pekerjaan dalam sektor pembinaan adalah sesuai untuk ODS kerana mereka mempunyai kemahiran yang relevan dan mampu mempelajari kemahiran yang diperlukan.


“Industri pembinaan juga kini dalam keadaan kritikal untuk memperoleh tenaga kerja mahir tempatan. MRCB sendiri memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir tempatan bagi memenuhi keperluan projek.


“Melalui program ini, mereka bukan saja dapat bekerja, tetapi secara tidak langsung membantu syarikat pembinaan mengisi kekurangan tenaga kerja.


“Ia bukan hanya sekadar kepada MRCB tetapi ia juga adalah tanggungjawab memajukan ekonomi negara,” katanya.


Dell Akbar berkata, beberapa syarikat turut terbabit bersama iaitu Reaplite Industry Sdn Bhd, Trans Resources Corporation Sdn Bhd serta MRCB George Kent Sdn Bhd.


Bagi fasa pertama, seramai 30 ODS terbabit dalam program PEKA@MRCB dan sudah memulakan kerja pada 1 Ogos lalu, manakala bagi fasa kedua, seramai 60 orang ODS akan terbabit memulakan kerja pada 2 Disember ini di dua lokasi yang ditetapkan MRCB.


Bagi setiap kumpulan dan lokasi pekerjaan, seramai 30 ODS akan terbabit dengan seliaan empat orang warden Jabatan Penjara.


Mereka turut mendapat gaji bulanan minimum sebanyak RM1,100, peruntukan kerja lebih masa, makanan harian, insurans, perlindungan perubatan dan peralatan perlindungan keselamatan.



28 views
bottom of page