top of page

Pecah tanah pembinaan projek LRT Mutiara dijangka diumum awal tahun depan


Loke (berdiri empat kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (berdiri lima kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) antara RAC dan Rivanis Ventures Sdn Bhd bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67, Bandar Perai di Hotel The Light Seberang Jaya. RAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azhar Ahmad (duduk tengah); LPNPP diwakili Ketua Pegawai Bisnes, Fakhurazzi Ibnu Omar (duduk kanan); dan Rivanis Ventures Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff (duduk kiri). - Foto DANIAL SAAD

BUTTERWORTH: Majlis pecah tanah bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang akan diumumkan awal tahun depan, selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum akhir tahun ini.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini rundingan dengan pihak kontraktor masih berjalan kerana terdapat beberapa perkara perlu dimuktamadkan terutama dari segi kos dan reka bentuk jajaran landasan kereta api.


Beliau berkata, mengikut perancangan awal, jajaran membabitkan laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke pusat beli belah KOMTAR, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan laluan disambung hingga ke Penang Sentral di Butterworth, Seberang Perai.


"Maka berlaku pengubahsuaian skop dan juga reka bentuk jajaran yang ia juga sudah tentu akan ada perubahan dari segi kos pembinaan.


"Justeru, banyak rundingan telah dijalankan dengan pihak kontraktor yang kita berharap dalam tempoh dua bulan ini (sebelum akhir tahun) beberapa perjanjian berkaitan dapat dimuktamadkan dan mendapat kelulusan MOF.


"Kita akan buat pengumuman dan juga majlis pecah tanah secara rasminya untuk mulakan projek pembinaan (LRT) yang dijangka awal tahun depan," katanya ketika diminta mengulas berhubung perkembangan projek LRT Laluan Mutiara, setakat ini.


Terdahulu, Loke menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), di sini, hari ini.


Katanya, projek pembinaan fasa pertama LRT itu akan dimulakan dengan kerja-kerja membangunkan infrastruktur sebelum pelaksanaan kerja-kerja pembinaan sivil dijalankan.


Terdahulu. media melaporkan jajaran LRT Mutiara disasarkan beroperasi pada 2030 bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral.


Jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer (km) dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.


Comments


bottom of page