top of page

PBT Selangor: Kenaikan cukai taksiran maksimum 25 peratus


Tiada kenaikan melampau yang membebankan pemilik kediaman dan premis perniagaan.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini hanya boleh membuat penilaian kenaikan cukai taksiran pada kadar maksimum 25 peratus.


Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tiada kenaikan melampau yang membebankan pemilik kediaman dan premis perniagaan seperti didakwa sesetengah pihak terutama pembangkang sebelum ini.


Menurut beliau, langkah penyelarasan itu juga dianggap masih wajar dalam usaha PBT memberikan khidmat perbandaran lebih baik pada masa depan.


"Kerajaan negeri sudah membuat satu keputusan dasar berhubung penilaian cukai taksiran iaitu penyelarasan (kenaikan) 25 peratus dan tidak mahu PBT membuat penilaian lebih tinggi daripada itu.

"Saya juga menyangkal dakwaan kononnya rumah berusia 30 tahun dulunya berharga RM100,000 sekarang RM500,000 menyebabkan nilai taksirannya naik sehingga 400 peratus.

"Ini dakwaan tidak betul, sebaliknya nilaian tersebut dikira berdasarkan kadar sewa rumah dengan nilaian 25 peratus," tambah beliau.


Beliau berkata, kerajaan negeri terpaksa membuat ketetapan penilaian itu berikutan terdapat PBT tidak pernah menaikkan cukai taksiran sejak 30 tahun lalu.


Jelasnya, walaupun langkah itu dianggap tidak popular, namun ia terpaksa dilakukan atas dasar tanggungjawab dan keperluan mendesak.


"Kita sudah tangguh dan semakan (kenaikan cukai taksiran) sejak sekian lama, sedangkan rakyat dahagakan kemudahan infrastruktur lebih sempurna, perkhidmatan berkualiti dan pengurusan sisa pepejal lebih sistematik," katanya.


Sehubungan itu, Suee Lim berkata, kerajaan negeri terpaksa membuat penilaian semula cukai taksiran seiring dengan perkhidmatan lebih baik yang diinginkan rakyat.


"Kita tidak boleh elak masalah utama PBT tertentu di Selangor yang menghadapi kekangan kewangan untuk meningkatkan semua perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur lebih baik.


"Jadi inilah masa terbaik (semakan semula cukai taksiran) dan tidak mahu bersikap seperti sebelum ini dengan membuat beberapa kali penangguhan.


"Apabila penangguhan berlaku, banyak kerja-kerja pembersihan seperti longkang dan rumput tersumbat tidak dapat diselenggara secara berkala," jelas beliau.


Sebelum ini, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan negeri menaikkan kadar cukai pintu sehingga empat kali ganda berbanding nilai sedia ada.


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, cukai tersebut dinaikkan daripada RM191.40 setahun kepada RM429.


Sumber: Sinar Harian


コメント


bottom of page