top of page

PBSNT setia menanti 'lampu hijau' MFL



PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) setia menanti ‘lampu hijau’ daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak yang bakal menjadi gelanggang baharu skuad Terengganu FC (TFC) musim ini.


Petang semalam MFL melakukan pemeriksaan di SSMZA bagi membolehkan stadium yang mampu memuatkan 50,000 peminat itu dapat digunakan dalam aksi Liga Super bermula pertemuan dengan Perak pada 29 Februari ini.


“Insya-Allah masalah di stadium itu akan dapat di selesaikan sebelum perlawanan bermula, namun pada kita yang paling penting sekali adalah padang iaitu masalah asal di stadium ini (SSMZA).



“Mengenai ketiadaan bumbung yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan seumpamanya, kita sudah mengambil beberapa tindakan antaranya kita atasi melalui cara ‘water proofing’ dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri juga sudah mengambil tindakan melantik kontraktor yang akan melaksanakan kerja berkenaan.


“Pihak kompleks sukan juga sudah berusaha gigih untuk menyiapkan fasiliti di stadium ini dengan sebaik mungkin bagi membolehkan TFC dapat beraksi pada tarikh berkenaan.


”Kita berharap MFL dapat memberikan kebenaran kepada TFC beraksi di sini, setakat yang saya dapat maklum balas daripada pasukan lain yang beraksi di sini, mereka cukup berpuas hati dengan kualiti padang, apatah lagi sistem saliran padang ini tidak ada masalah berbanding pada 2017 iaitu ketika kali terakhir TFC beraksi di stadium ini (SSMZA),” ujar Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.


Dalam pada itu komitmen tinggi yang dipamerkan pemain TFC ketika menumpaskan Pahang 4-1 pada aksi persahabatan pramusim di stadium berkenaan yang diadakan secara tertutup malam tadi mendapat reaksi positif daripada Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya.


Bagaimanapun beliau tidak mahu pemain mendabik dada kerana masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperkemaskan menjelang aksi pertama bertemu juara Piala Malaysia 2018 itu Sabtu depan.


“Saya berpuas hati dengan permainan dan komitmen yang ditunjukkan semua pemain pada aksi malam tadi.


“Namun begitu masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu dipertingkatkan menjelang perlawanan pertama liga super nanti,” ujar Shahrizal.


Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain garang mendahului empat gol pada babak pertama menerusi hatrik penyerang kelahiran Mauritania, Dominique Da Sylva selain satu jaringan Faris Ramli.


Gol saguhati skuad Tok Gajah dihasilkan pada separuh masa kedua berpunca jaringan sendiri pertahanan TFC dari Senegal, Babacar Diallo.


Sumber: Harian Metro


10 views
bottom of page