top of page

Patah kaki tersepit forklift



PEKERJA Myanmar patah kaki kiri manakala rakannya warga tempatan cedera ringan akibat tersepit pada jentera pengangkat barang (forklift) di sebuah pasar raya di Pekan Pendang, Pendang, hari ini.


Dalam kejadian 5 petang itu, mereka dipercayai sedang mengangkat simen dari fork lift menerusi lubang dinding yang ditebuk untuk kerja pengubahsuaian di pasar raya berkenaan.


Mangsa, Sayedul Mustafa Shamsul, 22, dipercayai tergelincir menyebabkan kaki kirinya tersepit manakala rakannya, Muhd Zahir Abu Hashim, 32, hanya cedera ringan.



Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.12 petang tadi.


Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nazeri Kasa bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota dan dua jentera termasuk EMRS.


“Setibanya di tempat kejadian didapati dua mangsa tersepit pada fork lift berkenaan.


“Mangsa dikeluarkan anggota bomba dengan bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohamadul Ehsan berkata, seorang daripada mangsa patah kaki manakala seorang lagi cedera ringan.


Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Operasi tamat pada jam 5.49 petang,” katanya.


Sumber: Harian Metro


12 views
bottom of page