top of page

Pasukan petugas sejuta peluang pekerjaan untuk belia


GEORGETOWN 21 April - Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas untuk memastikan sejuta peluang pekerjaan berkualiti disediakan kepada golongan belia dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi mengatasi masalah pengangguran golongan itu.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pasukan petugas yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu baharu sahaja diluluskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.


“Pada mesyuarat Kabinet itu, saya telah usulkan beberapa isu berkaitan belia terutama memastikan peluang pekerjaan bermutu untuk golongan belia dan jemaah menteri telah bersetuju untuk meluluskan satu pasukan petugas khas untuk mencipta satu juta peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan berkenaan.


Pasukan petugas itu juga antara lain adalah antara usaha kami untuk tunaikan janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia Pulau Pinang, di sini hari ini.


Beliau berkata, uniknya pasukan petugas itu bukan sahaja diwakili jemaah menteri malah akan disertai tokoh korporat yang telah sekian lama menjana puluhan ribu peluang pekerjaan di Malaysia.


Syed Saddiq berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan dan sokongan daripada sektor swasta untuk membantu pasukan petugas itu menyediakan satu juta peluang pekerjaan kepada golongan belia dan beliau percaya perkara itu akan dapat dicapai.


“Kerajaan memandang serius soal menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan belia kerana mereka merupakan golongan yang akan membangunkan negara pada masa hadapan sebab itu kita perlukan sokongan daripada pihak swasta dan tokoh korporat untuk bersama-sama mencipta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.


Menurutnya, menerusi pasukan petugas itu juga, pihaknya akan menjalankan kajian bagi memastikan permulaan gaji bagi lepasan daripada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dinaikkan daripada RM1,400 kepada RM1,800.


Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan Bank Negara mendapati tenaga kerja berkemahiran masih menerima permulaan gaji yang sama dan masih statik sejak 20 tahun lepas sehingga menjejaskan lepasan daripada bidang TVET.


“Mereka bukan minta banyak sangat hingga RM6,000 hingga RM7,000 untuk permulaan kerja sebaliknya berilah gaji yang lebih bermaruah. Namun disebabkan lambakan pekerja asing merupakan punca utama gaji sektor berkenaan masih statik, jadi pasukan petugas berkenaan akan membincangkan serta mencari jalan penyelesaiannya,” katanya. - BERNAMA



84 views
bottom of page