![Pasukan petugas khas kenal pasti masalah lapangan projek Pan Borneo Berita Harian www.bharian.com.my](https://static.wixstatic.com/media/a0c008_6e7d56ead7ee43cfb2946a2a7741f569~mv2.png/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/a0c008_6e7d56ead7ee43cfb2946a2a7741f569~mv2.png)
KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengenal pasti masalah di lapangan, yang menjejaskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 Sarawak.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, turut serta dalam pasukan petugas itu adalah perunding yang terbabit melaksanakan projek berkenaan.
Beliau berkata, beberapa masalah timbul di lapangan menyebabkan projek bernilai RM16 bilion itu lewat disiapkan.
"Antara masalah yang dihadapi ialah pergerakan tanah di cerun tinggi, yang menjejaskan keselamatan seperti di Bukit Begunan, Sri Aman. Berikutan masalah itu, pembinaan jalan di laluan bukit berkenaan terpaksa direka bentuk semula.
"Sebab itu, pasukan petugas khas ditubuhkan bagi membolehkan kita mencari penyelesaian segera bagi memastikan projek dapat disiapkan segera," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Koordinasi Projek Utama KKR dan JKR Sarawak, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, masalah lain yang dihadapi dalam pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 786 kilometer itu ialah pemindahan paip air di Miri, masalah kekurangan pekerja dan bahan binaan.
Beliau berkata, ketika ini, projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 Sarawak sudah 88 peratus siap, dengan lebih separuh sudah dibuka kepada laluan kenderaan.
Projek mega itu yang bermula pada 2015 dijadualkan siap sepenuhnya dalam suku pertama tahun depan.
Sumber: Berita Harian
Opmerkingen