PULAU PINANG 28 Mac – Kumpulan E&O iaitu pemaju bagi projek tambak laut Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) di Tanjung Tokong di sini mendakwa tidak mempunyai kaitan dengan kerja-kerja mengorek pasir yang sedang berjalan di perairan Jelutong di sini ketika ini.
Jurucakap Kumpulan E&O berkata, pasir yang digunakan mereka untuk projek yang dijalankan menerusi anak syarikat Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. diperoleh dari luar negeri ini iaitu dari Perak dan Selangor.
Katanya, pasir yang diperoleh itu juga diambil dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta melalui kesan impak alam sekitar (DEIA).
“Kapal pengangkut yang digunakan untuk memindahkan pasir bagi projek STP-2 juga adalah lebih besar berbanding dengan kapal jengkaut yang kelihatan sedang mengorek pasir di perairan Jelutong seperti dilaporkan,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu dibuat berikutan terdapat tanda tanya sama ada pasir yang sedang dikorek dan dilonggokkan di pesisir pantai Macallum, Geogetown di sini adalah untuk dibekalkan bagi projek tambak laut STP-2 yang sedang berjalan ketika ini.
Kerja-kerja mengorek pasir itu menjadi misteri selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan tidak memberi kelulusan dan kebenaran bagi projek seumpama tersebut namun kumpulan nelayan mendakwa sudah berlangsung sejak Februari lalu hingga kini. - UTUSAN ONLINE
Sumber: Utusan Online
Comentários