top of page

PARLIMEN: KPKT selenggara lebih 3,000 projek perumahan lama


Gambar hiasan (Sumber: Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Aspek penyelenggaraan 3,519 projek perumahan lama skim strata kos rendah akan ditambah baik, membabitkan 554,000 unit yang uzur di seluruh negara bagi memastikan ia mempunyai daya huni tinggi.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Meerican, berkata pihaknya akan memohon sejumlah peruntukan kepada Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2022 untuk melaksanakan kerja penambahbaikan berkenaan.


"Cabaran kita ialah sekitar 3,519 skim perumahan lama yang tiada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang dibina sebelum wujudnya Akta Pengurusan Strata 2013.


"Bangunan ini tidak terbela, maka kita akan mohon Kementerian Kewangan melihat semula skim perumahan lama ini.


"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan kediaman disediakan bukan hanya mampu dimiliki tetapi juga mempunyai tahap daya huni tinggi," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai sama ada kerajaan merancang membangunkan semula projek perumahan lama yang keadaannya tidak begitu baik.


Reezal Merican berkata, kerajaan sudah siap membina 150 Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 96,488 unit sejak diperkenalkan pada 1982.


Beliau berkata, KPKT melaksanakan Indeks Daya Huni di semua 154 projek perumahan rakyat (PPR) untuk memastikan kelestarian tahap daya huni mereka yang mendiami kediaman berkenaan.


"Apa guna kita ada PPR tetapi anak tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana capaian internet dalam keadaan lemah. Ini tidak menjadikan lokasi itu berdaya huni," katanya.


Beliau berkata, kerajaan sudah siap membina 154 PPR membabitkan 97,196 unit sejak ia diperkenalkan pada 1982.


Sehingga kini, sebanyak 28 projek merangkumi 10,570 unit rumah dalam pembinaan dan 11 projek yang merangkumi 4,120 unit rumah dalam peringkat perancangan di seluruh negara.

Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page