top of page

Parkir PPAM Larai sesak 1KM


Tinjauan kekurangan kemudahan tapak letak kenderaan di PPAM Larai, Presint 6 di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Isu kekurangan parkir di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Larai di sini memaksa ribuan penduduk meletakkan kereta di laluan utama luar kawasan itu.


Situasi tersebut mengakibatkan sepanjang Jalan Kajangan Presint 6 sejauh hampir satu kilometer penuh sesak dengan kenderaan penduduk memenuhi kiri dan kanan bahu laluan tersebut.


Pengerusi Persatuan Penduduk PPAM Larai, Yusoff Abdul Latiff berkata, mereka tiada pilihan dan kesesakan teruk itu mencecah sehingga persimpangan lampu isyarat utama di Jalan Presint 5.


“Bayangkan sampai terus ke depan jalan besar di simpang itu dipenuhi dengan kereta penduduk dan keadaan ini sudah berlarutan sejak Februari tahun lepas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Menurutnya, masalah itu menjadi amat kritikal di luar waktu pejabat dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ramai kakitangan awam terlibat polisi bekerja dari rumah (BDR).


Beliau mendakwa, banyak kereta rosak digesel lori pengangkut sampah selain jentera bomba dan ambulans sekiranya berlaku situasi kecemasan di PPAM Larai.


Projek PPAM fasa keempat itu mula diduduki sekitar akhir 2017 dan menempatkan 1,680 unit kediaman berstrata dimajukan di atas tanah berkeluasan tujuh hektar di Presint 6.


Yusoff berkata, isu timbul apabila setiap penghuni hanya diperuntukkan satu petak parkir ditetapkan dalam kawasan walhal satu keluarga memiliki lebih sebuah kereta.


“Ini belum lagi kereta milik pasangan atau anak-anak dan kita menganggarkan ada lebih 700 kereta diletak di luar PPAM Larai sebab tiada pelekat akses parkir,” jelas beliau.


Disebabkan itu katanya, bas awam Nadi Putra dengan nombor L10 gagal masuk ke kawasan perumahan tersebut, sekali gus menjadikan hentian bas di lokasi ini terbiar seperti perhiasan.


Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa berjalan kaki sekitar 800 meter dan menunggu bas di hentian berdekatan Apartmen 5R1, Presint 5 jika mahu ke pusat bandar di Presint 1.


Beliau berkata, penduduknya juga seolah-olah pasrah apabila kerap disaman anggota polis trafik atau penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) atas kesalahan mengganggu lalu lintas.


Persatuan penduduk itu jelasnya, sudah membawa isu ini kepada perhatian wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan, tetapi sehingga kini belum ada lagi tindakan susulan yang dibuat.


“Kami ada cadang agar kawasan semak belukar luas depan PPAM Larai ini dijadikan tapak parkir sementara daripada terbiar sahaja sebagai hutan namun tiada respons daripada PPj,” katanya.


Comments


bottom of page