top of page

PAAB sedia RM19 juta ganti paip uzur di Maran


Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
Gambar hiasan: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

MARAN - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta bagi melaksanakan projek menggantikan paip uzur sejauh 20 kilometer di daerah Maran.


Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali berkata, jumlah tersebut merupakan peruntukan permulaan sebelum disusuli 10 lagi projek mini lain yang kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan.


Menurutnya, jumlah tersebut diperuntukkan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) bagi melaksanakan pelbagai projek mini di Pahang dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

"Selain projek bernilai RM19 juta itu, sebanyak 10 projek mini melibatkan perbelanjaan RM33 juta lagi masih dalam proses mendapatkan kelulusan membabitkan hampir kesemua daerah di Pahang antaranya di Maran, Raub dan Temerloh.

"Projek mini ini meliputi penggantian paip dan pam loji air yang sudah uzur selain menaik taraf loji air sedia ada, pelan perniagaan ini dibuat dalam tempoh tiga tahun dan jika peruntukan disediakan tidak habis ia boleh dibawa ke hadapan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aspirasi dan Kempen Kesedaran Air PAAB di Sekolah Kebangsaan (SK) Kertau, Chenor pada Selasa.


Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PAAB, Zulkiflee Omar, Ketua Pegawai Kewangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Norbaida Abu Bakar dan Guru Besar SK Kertau, Wan Mohd Iskandal Wan Deraman.


Dalam pada itu, Abd Hadi berkata, peruntukan bagi projek pembinaan loji air baharu di Pahang pula masih dalam perbincangan antara PAAB dan Paip kerana ia membabitkan kos yang tinggi.


"Projek penambahbaikan bekalan air di Pahang ini baru sahaja aktif pada tahun ini dan masih banyak yang perlu dikaji termasuk pembinaan loji air baharu.


"Ini kerana pembinaannya agak kompleks dan memerlukan kajian teliti sama ada ia sesuai dalam memenuhi keperluan orang ramai di sesuatu kawasan," jelasnya.


Pahang antara negeri yang telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara selepas Paip memuktamadkan Perjanjian pada Disember 2022 membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai PAAB School Sustainability yang mula diperkenalkan pada 2020, beliau memberitahu, dana sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).


"Setakat ini,11 buah sekolah dipilih sepanjang program tersebut dari tempoh 2020 hingga 2023 di lima negeri yang menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Bekalan Air Negara.


"Peruntukan yang disumbangkan kepada semua sekolah berkenaan dimanfaatkan untuk menaik taraf kemudahan bekalan air dan kemudahan asas sekolah terlibat bagi memastikan warga sekolah dapat menjalani sesi pembelajaran dengan lebih kondusif tanpa gangguan bekalan air.


"Kali ini kita memberikan sumbangan sebanyak RM25,000 untuk menaik taraf dan membaiki prasarana berkaitan air di sekolah ini," ujarnya.


Tambah Abdul Hadi, kriteria pemilihan sekolah untuk program itu diputuskan berdasarkan kedudukan sekolah yang terletak dalam jajaran pembinaan aset air yang dibangunkan PAAB.


Sumber: Sinar Harian


4 views

Comments


bottom of page