top of page

P. Pinang kenakan kompaun tinggi kepada pemaju ingkar ESCP


Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Mulai 1 Sept, pemaju dan jurutera perunding yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) di negeri ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri telah mewartakan pindaan Undang-undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan-kesalahan) Jalan, Parit dan Bangunan 1980 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada 2 Julai lepas melibatkan tiga seksyen di bawah Akta 133 iaitu Seksyen 70A, 71 dan 121.


"Maka dengan pewartaan ini peruntukan kompaun baharu bagi kesalahan tidak patuh dengan kehendak notis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Seksyen 121 boleh dikenakan kompaun minimum RM1,500 dan maksimum tidak melebihi RM5,000 untuk setiap kesalahan.



"Kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran bertulis PBT atau tidak mengikuti Pelan Kerja Tanah yang diluluskan di bawah Seksyen 70A boleh dikompaun tidak kurang RM7,500 dan tidak melebihi RM25,000 untuk setiap kesalahan.


"Bagi mereka yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 71 iaitu gagal menyelia tapak sehingga menyebabkan keruntuhan cerun atau tembok penahan, akan dikompaun tidak kurang RM75,000 dan tidak melebihi RM250,000 untuk setiap kesalahan," katanya pada sidang media, di sini.


Zairil berkata pindaan terhadap undang-undang kecil itu dibuat berikutan kadar ketidakpatuhan masih lagi tinggi iaitu lebih kurang 78 peratus walaupun kekerapan operasi telah ditingkatkan setiap tahun.


"Daripada 77 operasi yang dilakukan pada tahun 2019, ketidakpatuhan telah dikenal pasti sebanyak 60 kali berbanding pada tahun sebelumnya hanya mencatatkan 18 ketidakpatuhan daripada 18 operasi yang dijalankan. Antara sebab kadar ketidakpatuhan yang tinggi adalah penalti yang terlalu ringan.


"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mempunyai peruntukan kompaun bagi kesalahan tersebut manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai pula hanya mempunyai peruntukan kompaun sebanyak RM250. Maka, tidak menghairankan apabila pihak pemaju dan jurutera perunding tidak mengambil berat kepatuhan pelan ESCP," jelasnya.


Menurutnya, pewartaan undang-undang kecil itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menguatkuasakan pematuhan garis panduan kerja tanah secara ketat di semua projek pemajuan.


Berikutan itu, beliau berkata dengan penguatkuasaan undang-undang kecil itu, semua pemaju dan jurutera perunding disaran agar mengambil berat mengenai pematuhan pelan ESCP di setiap tapak pembinaan dan bekerjasama bagi mengelakkan berlakunya banjir lumpur, pencemaran sungai dan kemalangan yang tidak dapat dielakkan.-- BERNAMA


Sumber: Astro Awani


17 views
bottom of page