top of page

Orang ramai boleh semak laporan EIA tapak pelupusan Lynas


- Foto NSTP/ARKIB

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjemput orang ramai memberi maklum balas berhubung rancangan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk membangunkan kemudahan pelupusan tetap (PDF) di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.


JAS memaklumkan, pihaknya sedang menilai laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi pembangunan itu dan orang ramai boleh mendapatkan laporan mengenainya melalui pautan yang disediakan di Facebook jabatan berkenaan.


Katanya, laporan EIA itu akan dipamerkan dari 12 Oktober hingga 10 November ini, manakala bagi ulasan awam adalah sehingga 25 November.


"Orang awam dijemput memberi ulasan dengan mengemukakan maklum balas berdasarkan penelitian berkaitan laporan EIA itu dalam tempoh pameran yang ditetapkan," kata JAS semalam.


Berdasarkan notis Pemberitahuan Pameran Awam yang disertakan, cadangan pembangunan projek berkenaan adalah di Lot 31375, Kawasan Perindustrian Gebeng, yang terletak 30 meter dari Lynas Advanced Materials Plant (LAMO).


Projek itu di kawasan seluas 25 hektar, dengan tempoh pelaksanaan selama lima tahun. Pemajunya adalah Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB), manakala perunding bagi EIA adalah Dr Nik & Associates Sdn Bhd (DNASB).


Mengikut pemberitahuan itu juga, projek terbabit akan mempunyai kesan positif dan negatif kepada alam sekitar dan langkah mitigasi sewajarnya dikenal pasti serta diperincikan dalam laporan EIA berkenaan oleh pemaju projek.


Notis itu memaklumkan, orang awam juga boleh memberikan maklum balas secara bertulis terhadap laporan EIA berkenaan yang turut boleh didapati di JAS, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya; JAS Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan.


Pada Ogos lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) meluluskan permohonan Lynas untuk menangguhkan pembinaan PDF bagi memindahkan sisa penulenan air larut lesap (WLP) sehingga 2 Mac tahun depan.


Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim di Dewan Rakyat pada hujung bulan lalu, dengan mengambil kira beberapa justifikasi selepas Lynas membuat pemohonan untuk menangguhkan pembinaan PDF itu.


Pada Julai lalu, sebuah portal berita melaporkan, JAS menolak cadangan Lynas sebelum ini untuk membina PDF berkenaan di Bukit Ketam, Kuantan.


Sumber: Berita Harian

10 views

Comments


bottom of page