top of page

Orang Asli Gua Musang minta kerajaan teruskan projek jalan desa

  • Dec 6, 2022
  • 1 min read

Orang Asli Gua Musang minta kerajaan teruskan projek jalan desa Berita Harian www.bharian.com.my
Keadaan jalan balak yang menjadi laluan penduduk menuju ke Pos Gob, penempatan Orang Asli paling jauh di Gua Musang

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di sini, berharap aspek pembangunan infrastruktur, jalan perhubungan dan sosio-ekonomi akan terus menjadi agenda Kerajaan Perpaduan, sekali gus membela nasib mereka.


Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan sudah meluluskan pembinaan jalan perhubungan desa yang membabitkan penempatan kaum itu di negeri ini.


"Kami berharap Kerajaan Perpaduan ini akan meneruskan pelaksanaan pembinaan jalan perhubungan desa ini secepat mungkin.


"Dengan pembentukan Kabinet ini, diharap isu pembangunan infrastruktur, jalan perhubungan dan sosio-ekonomi kita akan terus menjadi agenda pembangunan negara.


"Masalah perhubungan menjadi isu utama sehingga kini kerana kami masih menggunakan jalan balak seperti Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi.


"Penduduk kawasan berkenaan sentiasa bergadai nyawa apabila melalui jalan balak yang rosak terutamanya ketika musim tengkujuh," katanya ketika ditemui di Pos Brooke di sini.


Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, berharap Projek Pembangunan Bersepadu di kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang termasuk pembinaan jalan dapat dilaksanakan secepat mungkin.


Katanya, sebelum ini sudah banyak kali penduduk mengemukakan aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah jalan rosak.


"Dengan pembentukan Kabinet baharu ini, nasib masyarakat Orang Asli akan terus terbela dan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.


"Bagi kami jalan perhubungan amat penting kerana inilah laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah, tetapi laluan itu sentiasa rosak sejak lebih 50 tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti harian," katanya.


Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I yang merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page