top of page

Operasi komersial PCG di Pengerang mula suku keempat


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor baru-baru ini tidak akan menjejaskan operasi Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), malah syarikat itu berada dalam landasan untuk memulakan operasi komersialnya pada suku keempat tahun ini.


Pengerusi PCG, Datuk Md Arif Mahmood, berkata ini insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini membabitkan kemudahan milik bahagian penapisan dan tiada kaitan dengan bahagian kimia.


“Apa yang akan kami lakukan ialah mengasingkan bahagian yang terjejas (terbakar), manakala bagi bahagian yang tidak terjejas, pembangunannya akan diteruskan seperti biasa.

“Setakat ini, kilang petrokimia kami di PIC kini sudah 98 peratus siap dibina dan berada dalam landasan untuk mula beroperasi secara komersial pada suku keempat tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-21 syarikat itu di sini, hari ini.


Hadir sama ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah.

PIC pada 12 April lalu mengalami kebakaran pada jam 1.25 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.


Mengulas lanjut mengenai PIC, Md Arif, berkata ia mampu menyumbang pengeluaran 3.3 juta tan setahun (tpa) produk petrokimia kepada kumpulan jika beroperasi sepenuhnya.


“Namun, kebiasaannya pada tahun pertama operasi, kemudahan ini tidak akan beroperasi sepenuhnya kerana kami mahu melihat terlebih dulu bagaimana prestasinya.


“Selepas itu, kami berharap akan dapat memaksimumkan pengeluarannya dan mungkin seawal tahun depan” katanya.


PCG mengeluarkan sebanyak 10.4 juta tpa produk petrokimia pada 2018 dengan kadar penggunaan kilang pada 92 peratus.


Dalam pada itu, beliau berkata, PCG akan memperuntukkan sehingga RM2.7 bilion untuk pelaburan modal tahun ini dengan sebahagian besar akan digunakan bagi tujuan kegunaan operasi dan pemulihan kumpulan.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, PCG merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.1 bilion, yang tertinggi pernah dicatat kumpulan itu sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2010, naik 14.6 peratus berbanding RM4.4 bilion pada tahun sebelumnya.


Ia juga merekodkan pendapatan tertinggi berjumlah RM19.6 bilion, meningkat 12.5 peratus berbanding RM17.4 bilion pada tahun kewangan 2017.



41 views
bottom of page