top of page

NIOSH saran audit tahunan bangunan


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan disaran melaksanakan audit keselamatan secara tahunan kepada semua bangunan kediaman dan komersial khususnya yang berusia melebihi 20 tahun bagi menjaga keselamatan penghuni.


Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata audit tahunan itu penting bagi mengenal pasti pelbagai risiko bagi membolehkan tindakan segera diambil.


“Masalah keselamatan tidak boleh diabaikan dan kerajaan perlu memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan untuk melindungi penduduk dan orang ramai tidak terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya ditemui media selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja, Projek Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd di Presint 5 di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHP), Datuk Dr Kanagaraja Raman dan Pengarah Projek Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd, Andy See Wee Wah.


Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menjelaskan kementeriannya akan mengadakan kaji selidik dan semak semula untuk membaik pulih atau membina semula rumah flat yang berusia lebih 30 tahun.


Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keretakan bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, Ampang Jaya membabitkan seramai 222 penghuni yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak Jumaat lalu.


Kesemua penghuni daripada 37 keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.


Mengulas program hari ini, Lam Thye berkata, program itu sangat baik bagi mengingatkan pekerja mengenai aspek keselamatan terutama di tapak pembinaan yang sering terdedah kepada kemalangan.


Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan memikirkan soal keselamatan dan kesihatan pekerja terutama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).



22 views
bottom of page