top of page

NIOSH minat buka pejabat wilayah di Perak


PENGERUSI NIOSH, Lee Lam Thye.

IPOH: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berminat untuk mengembangkan operasinya di negeri ini selepas mendapat sambutan menggalakkan dari pihak industri dan sektor awam.


Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pembangunan pesat di wilayah utara mendorong NIOSH untuk mencari lokasi baru bagi menempatkan pejabat wilayahnya di negeri ini selepas hanya mempunyai cawangan di Manjung yang dibuka pada 2017.


Katanya, selain ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor, NIOSH turut mempunyai pejabat wilayah di Johor Bharu, Pulau Pinang, Kerteh, Bintulu dan Kota Kinabalu serta sembilan pejabat cawangan di seluruh negara.

“Perak mempunyai pelbagai jenis industri yang memerlukan latihan dan perkhidmatan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).


“Dengan adanya pejabat tetap dan lebih besar, kami dapat memberikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan awam dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.


Semalam, Lam Thye mengetuai delegasi NIOSH mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.


Turut sama dalam kunjungan itu, Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh dan Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Cheong Chee Khing.


Lam Thye berkata, dalam pertemuan itu, Ahmad Faizal mencadangkan beberapa lokasi sesuai untuk pejabat wilayah NIOSH di negeri termasuk di Bukit Merah yang memudahkan akses keluar masuk ke lebuhraya.

“Kami bersyukur dengan sokongan kuat yang diberikan menteri besar dan NIOSH akan menghantar cadangan lengkap kepada kerajaan negeri tidak lama lagi,” katanya yang memberitahu akan membesarkan pejabat cawangan NIOSH di Manjung.


Sejak dibuka pada Januari 2017, pejabat cawangan NIOSH di Manjung sudah melatih 9,813 peserta melalui 443 program latihan termasuk penyelia keselamatan tapak pembinaan, bekerja dalam ruang terkurung serta di tempat tinggi.



17 views
bottom of page