top of page

Nilai 7, Kawasan Perindustrian Arab Malaysian lokasi stesen ECRL Nilai


NILAI: Lokasi strategik antara Nilai 7 dan Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, di sini dikenal pasti sebagai kawasan cadangan pembinaan sebuah stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Setiausaha Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Marhizah Abdul Razak, berkata pihaknya sudah dimaklumkan Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lalu mengenai cadangan kerajaan membina Stesen ECRL Nilai.


“Kita sudah diberikan penerangan mengenai cadangan itu, dengan lokasi dikenal pasti sesuai ialah di antara Nilai 7 dan Kawasan Perindustrian Arab Malaysian. Ia dianggap paling sesuai kerana jauh daripada kawasan perumahan, malah terletak berhampiran dengan Bangi, Selangor iaitu hanya tiga hingga empat kilometer.

“Selaku PBT (pihak berkuasa tempatan) berkaitan, kami mengalu-alukan pembinaan stesen itu kerana ia akan menambah rangkaian sistem pengangkutan, sekali gus mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.


Beliau ditemui selepas mewakili Yang Dipertua MPN, Datuk Zazali Salehudin menyampaikan hadiah cabutan bertuah cukai taksiran MPN Tahun 2018, di Dewan MPN, di sini hari ini.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan baru-baru ini memaklumkan kementeriannya akan mencadangkan sebuah stesen ECRL dibina di Nilai.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu berkata, pembinaan stesen di Nilai diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang di kawasan itu serta Seremban sehingga ke Port Dickson.


Sebelum ini kerajaan menetapkan satu lagi pembinaan stesen ECRL di Negeri Sembilan adalah di Kuala Klawang, Jelebu.


Marhizah ketika mengulas lanjut, berkata antara langkah awal yang akan diambil pihaknya ianya membuat persiapan untuk memasukkan rancangan berkenaan ke dalam Rancangan Tempatan PBT itu bagi tahun 2019-2035 sebelum diwartakan.


“Rancangan Tempatan itu akan memberi peluang orang ramai membuat rujukan mengenai rancangan pembangunan dijalankan kerajaan,” katanya.



41 views
bottom of page