top of page

Nelayan, penduduk terus gesa batal projek asrama pekerja warga asing


Nelayan, penduduk terus gesa batal projek asrama pekerja warga asing Berita Harian www.bharian.com.my
Cadangan pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar di sini, turut membabitkan kawasan rizab pantai. - Foto ZUHAINY ZULKIFFLI

BAYAN LEPAS: Komuniti nelayan di sekitar perairan di sini yang terhimpit dengan 'ancaman' projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), turut menggesa supaya cadangan pembinaan asrama pekerja warga asing tidak diteruskan.


Walaupun tidak membabitkan kawasan nelayan Teluk Kumbar, namun kedudukannya hanya beberapa meter dari lokasi cadangan, ia sudah cukup meresahkan semua nelayan pantai dan penduduk yang bakal terkesan pada masa depan.


Nelayan, Arifin Ali, 74, berkata, sebelum ini mereka tidak tidur lena berikutan projek pulau buatan yang dirancang dilakukan di perairan itu.


"Kini ditambah lagi dengan kebimbangan kami mengenai pekerjaan yang mereka lakukan sejak sekian lama sebagai nelayan. Banyak perkara yang membimbangkan nelayan khususnya penduduk jika rancangan pembinaan asrama itu didirikan selain dan kesannya kita sudah sedia maklum.


"Sudahlah kawasan ini akan 'menjadi' sebahagian penempatan mereka, akhirnya perairan kita juga akan menjadi kawasan mereka 'cari makan' dan kemungkinan melanggar zon atau peraturan di laut," katanya yang sudah lebih 40 tahun menjadi nelayan pantai.


Terdahulu, kerajaan negeri dilapor bakal membina tiga asrama pekerja asing di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar, dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar selain membabitkan rizab pantai.


Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ hanya kira-kira 15,000 orang.


Mengulas lanjut, Ariffin berkata, masalah kebanjiran warga asing sedia ada sudah membelenggu komuniti di situ sejak bertahun lalu dan didapati banyak mengundang masalah.


"Budaya, agama dan cara hidup mereka berbeza dengan rakyat tempatan, kita bimbang jika jumlah mereka semakin ramai, pelbagai masalah lain akan timbul.


"Antara yang sering berlaku ialah pergaduhan, abai kebersihan dan beberapa keadaan lain yang bertentangan dengan norma kehidupan kita malah mereka juga dilihat bekerja sebagai nelayan," katanya lagi.


Sementara itu, penduduk Taman Sahabat Indah, Zahari Zakaria, 64, berkata, mereka kesal sekiranya projek itu tetap diteruskan kerana ia terlalu hampir dengan penempatannya dan dikatakan menjadi laluan masuk ke asrama.


Beliau berkata, pada masa ini, terdapat kira-kira lima rumah dua tingkat milik sebuah syarikat, dijadikan penempatan pekerja warga asing dan keadaan golongan itu setiap hari amat dikesali.


"Selain bas yang diparkir di bahu jalan, mereka juga berbuat bising pada waktu pagi selain berpakaian tidak sesuai apabila berada di luar rumah berkenaan.


"Itu hanya sebahagian, bagaimana pula nanti jika asrama bagi 30,000 pekerja itu siap kelak? Sudah tentu keadaannya lebih buruk," katanya di sini.


Pelbagai siri bantahan dan penyerahan memorandum sudah dilakukan penduduk, namun masih tiada kata putus daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama pemaju.


Sementara projek pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) bagi pekerja warga asing di Bertam, Kepala Batas, sudah dibatalkan baru-baru ini dan membabitkan tanah seluas 337 hektar.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page