KUALA LUMPUR: Naza TTDI Development Sdn Bhd, pemaju perintis perbandaran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur bersedia untuk fasa pertumbuhan berikutnya dengan menyasarkan pelancaran hartanah membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM6 bilion dalam tempoh tiga tahun.
Pemaju hartanah itu sudah membangunkan 10 perbandaran dan lapan pembangunan hartanah unik sepanjang 50 tahun penubuhannya sejak 1973.
Ketua Pegawai Eksekutif Naza TTDI, Daniel Lim, berkata pelancaran masa depan merangkumi TTDI Za'aba Residences, apartmen servis dan runcit di Taman Tun Dr Ismail; TTDI Alam Impian Fasa 2A di Shah Alam; TTDI Alam Impian Fasa 5A (Plot 1) Shah Alam; KL Metropolis – MET7, Naza Auto Mall dan pembangunan apartmen servis dan tanah di Plentong, Johor.
Beliau berkata, pembangunan baharu dalam tempoh tiga tahun itu juga termasuk Platinum Park, KLCC, pembangunan pejabat dan ruang runcit.
"GDV semasa NAZA TTDI ketika ini lebih RM2 bilion dan jualan belum dibilkan sehingga RM493.7 juta daripada projek semasa," katanya kepada BH.
Sementara itu, Lim berkata 50 tahun adalah tempoh yang lama dan bukan mudah untuk syarikat kekal bertahan terutama dengan impak ketidaktentuan yang belum pernah berlaku dicetuskan pandemik COVID-19 yang menjejaskan banyak operasi syarikat.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 50 tahun, pemaju hartanah itu mencatatkan pelbagai pencapaian dalam pembangunan projek perbandaran terkenal serta projek premium dan terkemuka seperti TTDI, Platinum Park dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Setakat ini, NAZA TTDI katanya berjaya menyiapkan lebih 25,000 unit kediaman dan komersial sambil membawa perubahan kepada ramai rakyat dengan penekanan kepada kualiti, konsep dan produk gaya hidup yang mengambil kira komponen 'Kehidupan, Pekerjaan, Pendidikan dan Rekreasi'.
"NAZA TTDI akan terus menekankan nilai, inovasi dan kualiti bagi pelbagai projek yang akan dilancarkannya dalam beberapa tahun ini sambil mengukuhkan kedudukan sebagai antara syarikat terunggul dalam sektor hartanah negara," katanya.
Lim berkata, NAZA TTDI juga mempunyai rekod sejarah yang baik dalam menyampaikan projek yang berkualiti dan pada harga mampu milik serta tepat pada masanya.
Beliau berkata, pencapaian yang dikecapi syarikat itu dalam tempoh 50 tahun lalu mencerminkan pengukuhan perniagaan dan kewangannya.
Katanya, dengan rekod sejarah yang dicatatkan selama ini, adalah mudah untuk Naza TTDI menuju ke depan dengan daya tahan yang utuh.
"Bagi 2023, pendapatan kami dijangka mencecah RM1.2 bilion, yang mana adalah pencapaian pertama kali bagi hartanah, sementara dana pemegang saham akan melepasi paras RM1 bilion tahun ini. Syarikat berkembang kukuh dan ini mencerminkan kestabilan kewangan," katanya.
Lim berkata, pemaju hartanah itu mempunyai kira-kira kutipan masa depan RM323 juta daripada jualan pelaburan hartanah dan tanah.
"Kami akan memanfaatkan kekuatan yang ada dan membangunkan serta menawarkan produk yang lebih baik kepada pembeli dan pada masa sama membangunkan komuniti yang lebih baik bagi Malaysia dengan mewujudkan gaya hidup yang lebih lestari.
"Kami akan menerapkan elemen hijau dalam pembangunan yang kami laksanakan dan mewujudkan lebih banyak taman dalam projek hartanah kami," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments