KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), sebuah syarikat berkaitan kerajaan Sarawak (GLC) sedang menjalankan pemasangan peralatan perkhidmatan Wi-Fi bagi menangani masalah telekomunikasi di menara Kampung Semawa, Pantu dalam Bahagian Sri Aman.
Jabatan Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, penyediaan perkhidmatan di bawah inisiatif Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) adalah langkah interim SDEC bagi membolehkan penyediaan perkhidmatan Wi-Fi untuk komuniti sekitar kampung berkenaan.
Menurut kenyataan itu, SDEC mengambil tanggungjawab menangani masalah itu kerana menara telekomunikasi berkenaan adalah di bawah projek pembinaan yang dikendalikan oleh kerajaan Sarawak.
"MCMC mengambil maklum isu menara telekomunikasi yang tidak berfungsi di Kampung Semawa, di Pantu bagi tempoh lama seperti dilaporkan oleh pengguna media sosial, baru-baru ini.
"Sebagai langkah interim, SDEC sedang berusaha menyediakan kemudahan Wi-Fi yang dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung Mac ini," kata kenyataan itu.
Menurutnya, pembinaan struktur menara yang terletak 4.5 kilometer dari pekan Pantu itu sudah siap dan kini di peringkat akhir rundingan komersial dengan pihak penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis dan U Mobile bagi penyediaan kemudahan perkhidmatan talian mudah alih 4G di menara itu.
"MCMC sudah melaksanakan fasilitisasi bagi memudah cara proses rundingan antara pihak penyedia kemudahan perkhidmatan dan pihak SDEC, sebuah GLC kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab melaksanakan projek pembangunan menara telekomunikasi yang dibiayai kerajaan Sarawak.
"Menara telekomunikasi di kawasan itu disasarkan untuk beroperasi dengan perkhidmatan 4G sebelum penghujung tahun ini," kata kenyataan itu.
Di bawah Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1, sejumlah 10 menara telekomunikasi baharu sedang dibangunkan di daerah Sri Aman tahun ini.
Menara berkenaan dijangka siap dan mula beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun ini.
Sumber: Berita Harian
Comments