top of page

Mural 200 meter hasil seni anak tempatan



Kuantan: Sentuhan 14 anak muda tempatan menjadi kelebihan hasil seni mural sepanjang 200 meter di lorong utama antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota, di sini.


Pelbagai lakaran diterjemahkan pada kiri dan kanan dinding bangunan memaparkan tema bandar Kuantan serta Pahang sejak era 1970-an hingga kini dan apabila siap nanti, kawasan itu akan menjadi produk pelancongan terkenal di negeri ini.


Ketua kumpulan pelukis, Mohammad Amir Farouk berkata, projek bermula minggu lalu dijangka mengambil masa 10 hingga 14 minggu untuk disiapkan sepenuhnya bergantung kepada keadaan cuaca.


Menurutnya, apabila siap nanti kawasan lorong berkenaan akan menjadi terkenal dan pelancong boleh berjalan sambil melihat keindahan lukisan panjang sambil merakam gambar kenangan.


"Kelebihan lukisan mural ini ialah ia dihasilkan 100 peratus anak tempatan berasal dan dibesarkan di daerah ini dan mereka melalui sendiri sejarah kehidupan beberapa lokasi tumpuan.


"Antara lukisan itu adalah peniaga burger, premis menjual kain, bas, penjual akhbar, kanak- kanak bermain permainan tradisional, rama-rama besar dan beca," katanya.


Beliau berkata, mereka menggunakan teknik melukis dan semburan cat dan selepas setuju dengan gambar sesuai untuk dilukis, mereka terus melukis tanpa perlu membuat lakaran.


Katanya, projek mural pertama terpanjang di negeri ini itu antara produk pelancongan sempena pengisytiharan Kuantan sebagai bandar raya pada tahun depan dan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).


Sumber: Harian Metro

21 views

Comments


bottom of page