top of page

MSAM 2023: Bidang geologi makin popular di IPT


MSAM 2023: Bidang geologi makin popular di IPT
Gambar hiasan: Aktiviti geologis

MSAM 2023: Bidang geologi makin popular di IPT

SEBERANG PERAI – Pengajian dalam jurusan geologi kini semakin menjadi tumpuan dalam kalangan lepasan pelajar sekolah yang berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).


Presiden Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Prof. Madya Ts. PGeol. Dr. Mohd. Hariri Arifin berkata, kerjaya sebagai ahli geologi dan ahli geofizik semakin diminati berikutan banyak universiti awam kini menawarkan program jurusan berkaitan.


Menurut beliau, antaranya adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).


“Kita mahu pelajar sekolah didedahkan dengan kedua-dua kerjaya ini di peringkat awal lagi dan bidang ini boleh dijadikan pilihan utama ketika mereka mahu melanjutkan pengajian.


“Ia susulan ada mahasiswa hanya tahu mengenai bidang ini ketika mereka sudah mahu menamatkan diploma atau matrik sedangkan universiti tempatan kita ada menawarkan pelbagai program dengan tenaga pengajar berpengalaman.


“Pendedahan awal ini boleh menyemarakkan semangat pelajar sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh dan jadikan bidang ini sebagai pilihan utama pada masa depan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas perasmian Jom STEM: Bicara Geo Bersama Persatuan Geologi Malaysia di Setia Fontaines, Bertam di sini, semalam.


Program anjuran SP Setia bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.


Mengulas lanjut, Mohd. Hariri berkata, beliau turut berkongsi pengalaman mengenai peranan ahli geofizik di lapangan sekiranya berlaku bencana alam antaranya tanah runtuh, tsunami, gempa bumi, letusan gunung berapi dan perubahan aras laut global.


“Selain itu, penerokaan nadir bumi dan mineral antara isu popular kini dan bidang geologi ini memainkan peranan penting dalam memastikan isu berkait rapat dengan bumi terus dikaji dan dipantau.


“Justeru, kami akan teruskan kerjasama dengan Yayasan SP Setia untuk melaksanakan lebih banyak program seumpama ini bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat,” katanya.


Bermula dari 30 September sehingga 8 Oktober ini, pengunjung MSAM 2023 berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan program di 50 gerai pameran yang disediakan.


Selain itu, beberapa sesi ceramah berkaitan pelaburan dan kewangan turut berlangsung sepanjang program antaranya Sembang-Sembang ASNB, Labur Ria bersama artis tempatan dan Live Trivia Bersama PNB.


Sumber: Kosmo!


MSAM 2023: Bidang geologi makin popular di IPT


14 views
bottom of page