top of page

MRT3, PTMP dijangka disambung semula


KUALA LUMPUR: Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) Lembah Klang yang bernilai RM20 bilion dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berjumlah RM32 bilion dijangka akan disambung semula.


Affin Hwang Capital dalam notanya berkata, pihaknya berpendapat Gamuda Bhd bercadang untuk mengurangkan kos MRT3, sekurang-kurangnya separuh daripada anggaran kos sebenar yang berjumlah RM45 bilion, sementara projek PTMP masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa kerajaan pusat.


Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya turut menaikkan unjuran penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV)/saham yang dicapai sebanyak tujuh peratus kepada RM4.12, berdasarkan penilaian bahagian pembinaan lebih tinggi.

“Oleh itu, kami menaikkan harga saham itu kepada beli daripada pegang dengan harga sasaran lebih tinggi sebanyak RM3.70, berdasarkan diskaun 10 peratus kepada RNVA, yang mana mengharapkan Gamuda mendapat manfaat daripada projek berkenaan,” katanya.


Mengulas mengenai MRT3, Affin Hwang Capital berkata, kerajaan mungkin akan menjalankan semula projek berkenaan pada akhir tahun ini dan mengeluarkan tender bagi lantikan kontraktor siap guna (turnkey) pada 2020.


“Kami percaya Gamuda memiliki kelebihan kos yang kompetitif untuk membida projek MRT3 kerana mereka memiliki 12 mesin pengorek terowong (TBM) bagi menjalankan kerja-kerja MRT2 yang boleh digunakan semula untuk MRT3,” katanya.


Sementara itu, bagi projek PTMP, firma itu berkata, PTMP dan Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) adalah termasuk dalam Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030, yang diluluskan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara.


“Projek berkenaan kini memerlukan kelulusan di peringkat akhir termasuk daripada Jabatan Alam Sekitar. Ia dijangka akan diperoleh pertengahan tahun ini.


“Tender bagi pakej permulaan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Pan Island Link 1 juga berkemungkinan akan dibuka pada akhir 2020,” katanya.

Affin Hwang Capital berkata, nilai tempahan projek (order book) semasa Gamuda setakat ini berjumlah RM10.9 bilion dan ia dijangka boleh meningkat hampir tiga kali jika syarikat berkenaan jika MRT3 dan PTMP disambung semula,” katanya.


Sebelum ini, projek MRT3 sepanjang 40 kilometer itu dan PTMP antara projek yang ditangguhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana membabitkan kos pembinaan tinggi.



154 views
bottom of page