KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) siap 41 peratus setakat akhir Disember lalu.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata berdasarkan kemajuan semasa, projek itu akan dapat diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya sebagaimana dijadualkan menjelang 2022.
Katanya, terowong pertama yang siap ialah antara Stesen MRT Bandar Malaysia Utara dan Stesen MRT Chan Sow Lin, daripada 16 terowong yang diperlukan untuk melengkapkan seksyen bawah tanah sepanjang 13.5 kilometer.
Beliau berkata, seksyen terowong itu digali menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih dan mengambil masa kira-kira 11 bulan meliputi jarak bawah tanah sepanjang 1.9 kilometer.
“Kejayaan ini amat bermakna dan kami sedang bekerja keras untuk menyiapkan projek ini tepat pada masanya iaitu pada 2022. Alhamdulillah, penggalian terowong berjalan lancar walaupun berhadapan beberapa isu akibat daripada keadaan geologi yang sukar.
“Selain itu, kerja menggali terowong di bawah Jalan Sungai Besi yang mempunyai 13 lorong, Jalan Chan Sow Lin yang sibuk serta landasan LRT yang sedang digunakan berhampiran dengan Stesen LRT Chan Sow Lin menambahkan lagi kesukaran kerja itu,” kata dalam satu kenyataan media, hari ini.
Najmuddin berkata, kerja penggalian terowong bagi Laluan SSP akan dijalankan pada keupayaan maksimum apabila tujuh lagi TBM dilancarkan pada tahun ini.
Katanya, berikutan penembusan dilakukan sekarang, TBM akan ditarik melintasi lantai kekotak Stesen Chan Sow Lin untuk memulakan semula penggalian bahagian terowong kedua ke arah utara di antara Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Tun Razak Exchange.
“Selepas penggalian tiba di Stesen Tun Razak Exchange, TBM akan dileraikan dan dibawa keluar mengikut bahagian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembinaan kontraktor kerja bawah tanah Laluan SSP MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Datuk Ubull Din Om, berkata penyiapan bahagian terowong pertama ini adalah pencapaian membanggakan berikutan keadaan tanah pada bahagian ini adalah lebih sukar berbanding keadaan geologi yang dialami ketika pembinaan laluan pertama.
Katanya, secara geologi, profil tanah bagi jajaran terowong berada dalam jenis batu kapur karstik Extreme V, menjadikan ia sangat mencabar kerana batu kapur karstik terkenal dengan keadaan tanah yang tidak menentu, menjadikan ia sangat berisiko untuk operasi TBM.
“Pada 2003 ketika kerja penggalian terowong SMART (terowong jalan dan pengurusan air banjir) dijalankan di kawasan yang sama, banyak lubang benam terbentuk, mengakibatkan gangguan yang signifikan terhadap lalu lintas dan aktiviti manusia di atas tanah,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments