top of page

MRCB raih pendapatan RM592.9 juta


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) merekodkan pendapatan RM592.9 juta dan kerugian sebelum cukai RM195.2 juta pada separuh pertama 2020.


Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun pendapatan meningkat 25 peratus berbanding separuh pertama tahun 2019 disebabkan pengiktirafan pendapatan daripada pembangunan 1060 Carnegie yang telah siap di Melbourne, Australia.


Katanya, kerugian yang dicatatkan adalah berikutan peruntukan rosot nilai berjumlah RM202.5 juta terhadap pemulihan aset kontrak, perdagangan dan lain-lain penghutang sebahagian besarnya daripada projek pembinaan yang telah siap yang terkesan dengan pandemik.



"Sekiranya peruntukan ini tidak diakui, kumpulan akan mencatatkan keuntungan kecil sebanyak RM7.4 juta pada separuh pertama tahun 2020, di sebalik penamatan sepenuhnya pembinaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/PKP bersyarat," katanya.


Mengulas mengenai prestasi kewangan, Pengarah Urusan Kumpulannya, Imran Salim, berkata seperti yang pihaknya perhatikan sebelumnya, pandemik COVID-19 memberi kesan amat besar terhadap operasi syarikat itu pada suku kedua.


"Kami percaya adalah bijak untuk mengiktiraf rosot nilai ini, kerana kami kini mempunyai keraguan serius dalam kebolehpulihan aset kontrak, perdagangan dan penghutang lain, kerana ia berasal dari sektor yang telah terkesan teruk dengan wabak yang sedang melanda," katanya.


Bahagian Pembangunan Hartanah & Pelaburan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 115 peratus kepada RM336.4 juta dan 52 peratus penurunan keuntungan operasi kepada RM22.6 juta pada separuh pertama tahun 2020, berbanding masing-masing RM156.4 juta dan RM47.0 juta dalam tempoh sama pada tahun 2019.


Peningkatan pendapatan itu disebabkan terutamanya oleh pengiktirafan pendapatan dari projek 1060 Carnegie, setelah siap dan penyerahan unit yang dibeli selepas pembinaannya selesai pada bulan Disember 2019, serta kemajuan pembinaan di Sentral Suites di KL Sentral, yang menyaksikan peningkatan dua kali ganda pengiktirafan pendapatan kepada RM68.9 juta berbanding RM33.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.


Penurunan keuntungan operasi pula disebabkan terutamanya oleh kemajuan pembinaan yang minimum dalam tempoh PKP/PKP Bersyarat.


Bahagian berkenaan menjual hartanah bernilai RM86.1 juta pada separuh pertama tahun 2020 dan mempunyai penjualan hatanah yang belum dibil sebanyak RM1.3 bilion.


Bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar mencatatkan pendapatan sebanyak RM231.5 juta, yang sebahagian besarnya diperoleh sebelum PKP pada suku pertama daripada Pakej Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam CB2, Ibu Pejabat KWSP di Kwasa Sentral, Pakej CA2 Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang dan MRT Laluan 2.


Berikutan pandemik, bahagian itu melakukan penilaian terperinci impak perniagaan terhadap kebolehpulihan amaun yang dibawa aset dan seterusnya memberikan RM197.4 juta untuk rosot nilai aset kontrak, perdagangan dan penghutang lain yang dipercayai akan terkesan akibat pandemik berkenaan pada suku kedua 2020.


Ini mengakibatkan kerugian operasi sebanyak RM195.7 juta pada separuh pertama tahun 2020. Syarikat usaha sama projek LRT3 milik 50 peratus kumpulan telah menyumbangkan keuntungan bersih sebanyak RM1.4 juta berbanding dengan RM1.0 juta pada tempoh sama pada tahun 2019.



179 views
bottom of page