
KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) merekodkan 21 peratus peningkatan dalam pendapatannya kepada RM1.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM1.2 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Kumpulan itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM61.3 juta bagi tahun kewangan dikaji berbanding kerugian sebelum cukai RM153 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.
Menurut MRCB dalam satu kenyataan, prestasi yang bertambah baik itu adalah disebabkan kemajuan pembinaan projek LRT3 dan penyatuan penuh keputusannya selepas syarikat projek itu menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan dan pendapatan yang diperoleh daripada anak syarikatnya, Perbadanan Pembangunan Seri Iskandar.
"Bahagian Pembangunan Hartanah & Pelaburan merekodkan penurunan 22 peratus dalam pendapatan kepada RM498.6 juta berikutan penutupan dan sekatan tapak pembinaan yang lebih lama pada 2021.
"Ini yang memberi kesan kepada kemajuan pembinaan dan sumbangan daripada pembangunan Sentral Suites, 9 Seputeh dan Alstonia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber: Berita Harian