top of page

MPK tutup jalan 'kontroversi' dua minggu



Kluang: Jalan di hadapan Masjid Jamek Haji Manan, di sini, ditutup kepada semua kenderaan selama dua minggu bermula semalam bagi membolehkan kerja pembinaan penghadang ketinggian kenderaan yang berfungsi untuk menghalang kenderaan berat seperti treler dan lori melalui laluan berkenaan.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Mohd Rafi Abdulah berkata, keputusan untuk membina palang itu dicapai melalui perbincangan pihaknya dengan pemilik tanah yang sebelum ini menggunakan van jenazah serta batu konkrit untuk menghalang laluan berkenaan digunakan kenderaan berat untuk menghantar batu bata dan simen ke tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) di Jalan Nyior.


Beliau berkata, penduduk di kawasan penempatan berhampiran seperti di Taman Suria dan taman lain boleh melalui Jalan Haji Manan-Nyior dengan menggunakan jalan alternatif lain berhampiran kawasan masjid berkenaan.


"Selain itu, pengguna jalan ingin ke Kampung Melayu Nyior, Chamek dan Paloh boleh menggunakan Jalan Kluang-Nyior melalui jalan di Pasar Awam Kluang atau jalan lain yang sedia ada untuk mengelakkan sebarang kesulitan.


"Kerja pembinaan penghadang ketinggian kenderaan itu mengambil masa kira-kira dua minggu dan sebagai langkah keselamatan pihak MPK akan menutup jalan berkenaan," katanya melalui kenyataan media, hari ini.


Pada 16 Oktober, portal berita Harian Metro melaporkan pemilik tanah di hadapan Masjid Jamek Haji Manan meletakkan van jenazah sebagai tindakan menghalang treler dan lori melalui jalan berkenaan sehingga menimbulkan kekecohan dan rungutan orang ramai.


Manakala semalam, halangan ditukar daripada van jenazah kepada batu konkrit yang turut menimbulkan rungutan kepada pengguna jalan.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page