Kuantan: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berbincang dengan kerajaan Pahang mengenai projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan di negeri berkenaan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek lapangan terbang antarabangsa antara projek yang akan dibincangkan secara terperinci dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Banyak perkara perlu diperincikan dan diteliti, namun kementerian menghormati hasrat kerajaan negeri serta memahami keperluan terhadap projek berkenaan.
"Selain itu, kementerian juga menggalakkan lebih banyak kawasan perindustrian dibina di sepanjang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka akan beroperasi pada 2027," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Penubuhan Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), di sini, hari ini.
Turut hadir, Wan Rosdy dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak
Beliau berkata, Pahang mempunyai kelebihan kerana mempunyai pakej lengkap untuk menarik pelabur antaranya Taman Perindustrian MCKIP, Pelabuhan Kuantan serta ECRL termasuk perancangan projek lapangan terbang.
"Bukan semua negeri ada kelebihan seperti ini dan kita harap negeri yang ada faktor kelebihan maka kita akan bantu," katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, MCKIP diiktiraf sebagai Taman Perindustrian Negara dan setakat ini membawa pelaburan berjumlah lebih RM30 bilion.
Menurutnya, ia berjaya menarik 50 syarikat antarabangsa untuk datang melabur selain memberikan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Setakat tahun lalu, kerajaan negeri berjaya menarik kira-kira RM11.01 bilion pelaburan langsung syarikat asing dan daripada jumlah itu, RM5.6 bilion adalah dari negara China.
"Kita jangka lebih banyak syarikat dalam pelbagai sektor akan masuk membawa pelaburan ke taman perindustrian ini pada masa akan datang.
"Kerajaan negeri akan melihat keperluan dan kemudahan yang boleh diberikan dari semasa ke semasa untuk menarik mereka," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments