top of page

MOSTI cadang perluas 'Wireless Bridging System'


Gambar hiasan: Perkampungan orang asli

KUALA PILAH - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam peringkat cadangan bagi memperluaskan projek Wireless Bridging System di perkampungan Orang Asli atau kawasan pedalaman yang mempunyai masalah liputan internet.


Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika ini projek pembuktian konsep (Proof-of Concept) bagi sistem tersebut sedang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Kampung Kuala Pajam, Beranang, Selangor pada Februari lepas.


"Projek dah siap, namun laporannya sedang dimuktamatkan dan penambahbaikan sebelum diedarkan kepada semua pihak berkepentingan.


"Ia termasuk beberapa cadangan dan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menyebarkannya ke kawasan yang mempunyai masalah liputan," katanya yang merupakan Pengerusi Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal Pas pusat.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Motivasi dan Anugerah Cemerlang untuk Pelajar Anak Orang Asal di Balairaya Kampung Air Rengas, Johol di sini, pada Ahad.


Program anjuran Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal Pas Negeri Sembilan dengan kerjasama Pertubuhan Warisan Alam NS itu melibatkan seramai 23 pelajar cemerlang dari sekolah rendah hingga menengah di perkampungan berkenaan.


Beliau berkata, matlamat projek ini adalah untuk memanfaatkan sambungan internet dan menunjukkan kebolehlaksanaan teknologi untuk dilaksanakan sebagai satu bentuk penyelesaian jangka pendek dan segera yang disasarkan kepada usahawan kecil serta pelajar luar bandar.


"Saya mencadangan untuk projek ini diperluaskan termasuklah ke kampung kampung orang asal (asli).


"...dan MOSTI juga ada menerima beberapa permohonan untuk menggunakan teknologi-teknologi tertentu bagi menggantikan rangkaian fiber optik dalam usaha meningkatkan capaian internet di kawasan berkenaan.


"Permintaan ini banyak diterima khususnya di Sabah dan Sarawak ia termasuklah penggunaan Wireless Bridging System bagi menggantikan fiber optik," katanya.


Sumber: Sinar Harian

11 views

Comments


bottom of page