top of page

MMHE peroleh kerangka perjanjian kontrak PETRONAS


MMHE peroleh kerangka perjanjian kontrak PETRONAS

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) dianugerahkan kerangka perjanjian oleh PETRONAS bagi melaksanakan bidang kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) kerja-kerja struktur luar pesisir tetap.


Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, kerangka perjanjian itu terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A membabitkan struktur luar pesisir tetap yang beratnya melebihi 7,500 MT dan Pakej B bagi struktur luar pesisir tetap yang beratnya tidak lebih atau bersamaan dengan 7,500 MT.


Perjanjian itu berkuatkuasa selama enam tahun untuk kedua-dua Pakej A dan Pakej B berasaskan pada pembidaan mini, terpakai bagi projek-projek yang diuruskan di bawah kontraktor pengurusan petroleum Petroleum PETRONAS dan meliputi semua blok minyak dan gas di Malaysia.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Wan Mashitah Wan Abdullah Sani, berkata pihaknya berbangga dipilih untuk terus menyokong inisiatif luar pesisir PETRONAS.


“Anugerah ini adalah cerminan kepada kepercayaan berterusan dalam keupayaan kami untuk melaksanakan projek dan menyampaikan hasil yang diinginkan.


“Matlamat kami adalah untuk menyampaikan semua projek dengan cekap, tanpa menjejaskan keselamatan dan kualiti,” katanya dalam kenyataan itu.


MHB adalah industri tenaga global yang dipercayai dan penyedia penyelesaian marin untuk pelbagai kemudahan kejuruteraan berat dan kapal.


Ia mempunyai rekod lebih 40 tahun dalam menyampaikan penyelesaian bersepadu dan rumit, termasuk perkhidmatan sokongan mendalam kepada pelanggan minyak dan gas antarabangsa.


Setakat jam 2.30 petang ini, saham MHB didagangkan pada 61.5 sen di Bursa Malaysia dengan 72,900 saham bertukar tangan.


Sumber: BeritaHarian


84 views
bottom of page