top of page

MMC-Gamuda kemuka cadangan MRT3


KUALA LUMPUR: MMC Corporation Bhd (MMC) bersama rakan kongsinya, Gamuda Bhd sudah menghantar cadangan alternatif kepada kerajaan bagi melaksanakan semula pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) pada kos yang lebih rendah.


Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata pihaknya sudah menghantar cadangan alternatif itu pada akhir tahun lalu dan kerajaan sedang menilai cadangan berkenaan.


Beliau berkata, pelaksanaan projek MRT3 penting kerana ia adalah pelengkap kepada keseluruhan jajaran MRT dan ia juga akan menghubungkan dengan rangkaian sistem pengangkutan rel yang lain di Lembah Klang.

“Kami sudah menghantar cadangan kepada kerajaan. Ia adalah berbeza sepenuhnya dan (kos) lebih rendah daripada peruntukkan awal,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MMC di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kerajaan mungkin akan melaksanakan semula projek MRT3.


Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa kerajaan akan melaksanakan semula projek MRT3 jika kosnya dapat dikurangkan separuh daripada kos asal yang dianggarkan RM45 bilion sebelum ini.


Projek MRT3 sebelum ini dirancang membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer dan ia adalah aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.


Che Khalib berkata, bagi membolehkan projek MRT3 dilaksanakan pada kos yang lebih rendah adalah dengan melaksanakannya secara berperingkat berbanding membinanya secara sekali gus.


Beliau berkata, pembinaan secara berperingkat dilaksanakan dengan menyambung kepada kawasan yang berpenduduk tinggi terlebih dulu dan mengurangkan stesen bawah tanah, sekali gus menjadikan kos lebih murah berbanding kos asal.

Katanya, tumpuan stesen lebih kepada stesen pertukaran atau ‘interchange’ dengan laluan MRT1 dan MRT2 serta rangkaian rel yang lain.


“Adalah lebih baik bagi kerajaan memutuskan pelaksanaan semula MRT3 sekarang ini, memandangkan ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pembinaannya dimulakan.


“Sekiranya sehingga 2022, tiada pelan pelaksanaan semula MRT3, kita akan kehilangan kepakaran kerana bakat akan pergi ke negara lain yang melaksanakan projek MRT,” katanya.



190 views
bottom of page