top of page

MKB perlu wujudkan peluang kepada kontraktor Bumiputera


Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) disaran memberi fokus kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan keusahawan kepada kumpulan kontraktor Bumiputera. - Foto hiasan NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) disaran memberi fokus kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan keusahawan kepada kumpulan kontraktor Bumiputera.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata MKB perlu meneliti kelemahan dan cabaran dihadapi usahawan Bumiputera dalam sektor pembinaan yang didakwa seolah-olah diketepikan apabila kurang diberi peluang, terutama dalam pengagihan projek mega kerajaan.


"PKBM menyambut baik inisiatif diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksana MKB dalam usaha menjadikan golongan itu sebagai bangsa usahawan.


"Agensi dan jabatan yang dipertanggungjawab mengupaya dan mencapai hasrat MKB perlu merangka dasar jitu, memfokuskan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan keusahawanan kepada Bumiputera, khususnya kumpulan kontraktor.



"Justeru, antara usaha boleh dimainkan MKB bagi sektor pembinaan adalah pelaksanaan semula pakej rangsangan ekonomi dengan tumpuan khusus mewujudkan lebih ramai usahawan atau kontraktor berwibawa, berkebolehan dan tulen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan golongan itu sebagai bangsa usahawan.


Perdana Menteri berkata, ia akan dilakukan melalui MKB sebagai platform tertinggi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, budaya keusahawanan akan terus dipupuk secara bersepadu.


Mengulas lanjut, Azman merayu supaya kerajaan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperkasa 'Hub Building Material' ke semua negeri bagi membantu kontraktor mendapatkan harga lebih berdaya saing.


"Kerajaan juga perlu memperkasa penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dengan melatih kontraktor melalui pusat IBS Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai pelaksana agenda pembangunan dan pemangkin bagi merapatkan jurang ekosistem industri pembinaan IBS.


"Pusat ini mampu melatih serta memberi khidmat nasihat dan perunding kepada usahawan atau kontraktor dari gred bawah sehingga gred 7 (G7).


"Penggunaan IBS ini secara langsung meningkatkan lagi pekerja mahir tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam tempoh terdekat," katanya.



6 views
bottom of page