top of page

MIDA tubuh pasukan khas tumpu pembangunan sepanjang laluan ECRL


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan pasukan khas bagi memudahkan, menilai dan mengkaji semula pelaksanaan projek perangsang ekonomi (EAP) bagi koridor sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


MIDA baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama China Communication Construction Company Ltd (CCCC) di Beijing, disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatannya, Li Keqiang.


MoU itu sebahagian daripada kerjasama Malaysia dan China membabitkan peningkatan perdagangan minyak sawit dan kerjasama dalam pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berasaskan transit berkaitan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

“Melangkah ke hadapan, pasukan akan membabitkan dan menyusun pelbagai pelan tindakan meliputi aktiviti promosi dan pembabitan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk peserta industri tempatan.


“Projek pemangkin ini akan mewujudkan spektrum perniagaan dan peluang pekerjaan yang luas termasuk pembangunan taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang koridor ECRL.


“ECRL akan membentuk rangkaian pengangkutan kereta api Timur-Barat yang akan merangsang perdagangan, logistik, import dan eksport, serta aktiviti pembangunan pelancongan sepanjang laluannya.


“Dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DI) serta potensi pertumbuhan bagi perindustrian, komersil dan sektor pelancongan, laluan itu akan menyumbang ke arah merapatkan jurang pembangunan di antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


MIDA berkata, pihaknya dan CCCC akan mempromosikan EAP untuk memaksimumkan potensi kejayaannya serta menarik pelabur tempatan dan antarabangsa untuk melabur dalam projek itu.

Kedua-dua pihak juga katanya akan melaksanakan aktiviti kerjasama dan pembinaan kapasiti dalam menggalakkan komuniti perindustrian dan perniagaan menganjurkan atau menyertai dialog, bengkel, seminar dan persidangan; bantuan teknikal untuk mempromosikan dan memudahkan pembinaan dan latihan keupayaan serta perkongsian amalan terbaik.


“MIDA akan memberikan maklumat mengenai pelaksanaan EAP dari semasa ke semasa,” katanya.



13 views

Comentarios


bottom of page