top of page

MGBI, SANY Alameriah jalin kerjasama bangun projek IBS di Arab Saudi


MGBI, SANY Alameriah jalin kerjasama bangun projek IBS di Arab Saudi
Sany Alameriah Industrial (SA)

MGBI, SANY Alameriah jalin kerjasama bangun projek IBS di Arab Saudi

PETALING JAYA – LBS Bina Group melalui anak syarikatnya, MGB Berhad telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Sany Alameriah Industrial (SA), yang merupakan cawangan kepada Sany Alameriah For Construction Co., Ltd.


Perjanjian menerusi anak syarikatnya, MGB International for Industry (MGBI) itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 13 Januari lalu di Riyadh, Arab Saudi.


Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, SA yang merupakan pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia adalah syarikat usaha sama diperbadankan milik kerajaan Arab Saudi.


Jelasnya, penglibatan syarikat itu tertumpu dalam bidang pembinaan am, pembangunan hartanah, reka bentuk dan binaan serta penghasilan produk-produk konkrit pratuang.


“MGBI akan mengendalikan kilang konkrit pratuang SA yang terletak di Al Lith RD, Bandar Perindustrian ketiga Jeddah, Arab Saudi bagi pengeluaran dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk memenuhi kontrak pembekalan serta pemasangan.


“Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 810,000 meter persegi (m3) untuk tiga tahun.


“Di bawah terma perjanjian tersebut, SA komited untuk menyediakan 270,000 m3 produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga tahun dengan jumlah pesanan minimum sebanyak 90,000 m3 pada tahun pertama.


“Kadar pasaran semasa untuk produk konkrit pratuang di Arab Saudi adalah di dalam lingkungan Saudi Riyal (SAR) 1,800 sehingga 2,200 setiap m3,” katanya dalam kenyataan bersempena pemeteraian perjanjian tersebut di Arab Saudi baru-baru ini.


Majlis tersebut telah disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan Arab Saudi, Ibrahim Youssef Almubarak dan Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan, Abdulrahman Al-Taweel.


Mengulas lanjut, Hock San berkata, kerjasama itu juga merupakan projek antarabangsa pertama MGB untuk menembusi pasaran pembangunan hartanah dan sektor perumahan di Arab Saudi.


Jelas beliau, Kerajaan Arab Saudi telahpun melakukan pembaharuan yang ketara, seperti Program Perumahan Saudi yang diperkenalkan pada tahun 2018 bagi meningkatkan kebolehcapaian terhadap perumahan mampu milik, berkualiti dan selamat di lokasi yang baik bagi meningkatkan pemilikan rumah rakyat kepada 70 peratus menjelang tahun 2030.


“Ini memberikan kelebihan kepada pihak MGB berdasarkan pengalaman mereka di dalam membina perumahan mampu milik secara besar-besaran dan berpotensi untuk memperoleh kontrak lain di masa hadapan.


“MGBI yakin untuk memperluaskan sayapnya di rantau ini, sekali gus sedang membuat persiapan bagi memulakan operasi perniagaannya di sana,” ujarnya.


Hock San menambah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga, pihaknya telah melakukan pelbagai inovasi dan memperhalusi lagi cara pengeluaran produk konkrit pratuang dan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.


“Oleh itu, kami teruja akan perkembangan operasi ke Arab Saudi. Setakat ini, kerjasama kami dengan Kumpulan Sany di Malaysia untuk pembuatan produk konkrit pratuang IBS telah membuahkan hasil.


“Kami optimis untuk mengukuhkan usaha sama dengan kerajaan Arab Saudi. Kami amat berterima kasih kepada Kumpulan Sany di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap syarikat,” katanya.


Sumber: Kosmo!


MGBI, SANY Alameriah jalin kerjasama bangun projek IBS di Arab Saudi


Comentarios


bottom of page